USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR DR. NIK HAZLINA RANGKUL ANUGERAH BUKU NEGARA 2018

hjhyujyu 800x600

KUBANG KERIAN, 30 April 2018 – Pensyarah Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (UPKW), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain terus mengharumkan nama USM apabila dinobatkan sebagai pemenang penulis Buku Perubatan Terbaik bagi Kategori Pengajian Tinggi oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Buku yang bertajuk 'Ginekologi' ini menghuraikan satu persatu dengan mendalam tentang anatomi, perubahan fisiologi, endokrinologi dan patologi.

Selain itu, buku ini menghuraikan masalah yang dialami wanita bermula dari peringkat reproduksi sehinggalah ke peringkat pascareproduksi. Perubahan kitaran haid, peringkat awal kehamilan, masalah infertiliti, endometriosis dan fibroid, serta penyakit kanser yang menyerang wanita turut dibincangkan.

Berkongsi pengalaman tentang penulisan buku, artikel dan jurnal dalam bahasa Melayu, Profesor Dr. Nik Hazlina memberitahu, pencetus inspirasinya ialah pesakit-pesakitnya.

“Merekalah yang menguja dan meningkatkan kesungguhan saya untuk menulis buku sains perubatan untuk bacaan umum dalam bahasa Melayu. Saya bermula dengan menulis catatan ringkas pada kertas tentang masalah dan rawatan pesakit setiap kali saya berjumpa dengan pesakit di hospital. Saya akan membawa kertas catatan itu setiap kali ada sesi perjumpaan dengan pesakit sehinggakan kertas itu hampir lunyai.

ghjghj

“Ketika itu, tiada buku yang boleh dibaca oleh masyarakat umum, khususnya pesakit saya untuk membantu mereka memahami masalah atau penyakit yang dihidapi,” katanya.

"Harapan saya ialah, dengan memperoleh pengiktirafan sebegini mampu memberikan motivasi kepada rakan-rakan akademik yang lain untuk menerbitkan buku ilmiah berdasarkan kepakaran masing-masing.

"Semoga buku yang diterbitkan ini boleh membantu menyebarkan maklumat kepada masyarakat terutamanya golongan terkebawah dalam memastikan mereka juga tidak ketinggalan dalam aliran maklumat kesihatan," kata Nik Hazlina.

Anugerah Buku Negara diperkenalkan oleh YPBN bermula tahun 2005 ini diberikan kepada warga penggerak industri perbukuan negara. YPBN juga berperanan memajukan industri buku dan membina masyarakat berilmu melalui buku sama ada bercetak atau digital (e-book). 

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain

  • Created on .
  • Hits: 1336

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024