USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BOLOT ENAM ANUGERAH MAPIM-KPT 2017

KUALA LUMPUR, 29 April 2018 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Penerbit USM menggondol enam daripada 11 anugerah yang dipertandingkan dalam enam kategori di Majlis Anugerah MAPIM-KPT 2017 yang diadakan di sini hari ini.

Hadiah Utama bagi kategori Anugerah Makalah Jurnal Terbaik (Bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial) disandang oleh pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Dr. Low Choo Chin bagi makalah bertajuk A Malaysia of Citizens: Ethnicity, Membership and Politics of Merger KEMANUSIAAN The Asian Journal of Humanities, Jil. 24, No. 2, 2017.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi peluang untuk menerbitkan makalah ini dan saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ini walaupun kali pertama dicalonkan,” kata Low yang membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM3500 yang turut dibahagikan dengan Penerbit USM berjumlah RM700.

“Penerbit USM sentiasa berusaha memperbaiki mutu penerbitannya agar setaraf dengan standard penerbitan antarabangsa,” kata Pengarah Penerbit USM, Akhiar Salleh.

“Hal ini kerana buku dan jurnal terbitan Penerbit USM telah pun menembusi pasaran antarabangsa melalui syarikat gergasi seperti Google books, Amazon, Trajectory, EBSCO, Proquest dan puluhan pengedar buku elektronik antarabangsa,” tambahnya.

Selain itu, USM juga menerima lima lagi hadiah penghargaan melalui penerbitan-penerbitan berikut:

Kategori: ANUGERAH BUKU ILMIAH TERBAIK
(Bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial)
Judul: British dan Perang Enam Hari 1967 Arab-Israel
Nama Penulis: Dr. Muhamad Hasrul Zakariah

Kategori: ANUGERAH BUKU ILMIAH TERBAIK
(Bidang Sains, Teknologi dan Perubatan)
Judul: Pemodelan Hakisan Tanih Menggunakan Teknik 137Cs
Nama Penulis: Wan Ruslan Ismail dan Zainudin Othman 

Kategori: ANUGERAH MAKALAH JURNAL TERBAIK
(Bidang Sains, Teknologi dan Perubatan)
Judul: The Effects of Minocycline on Spinal Root Avulsion Injury in Rat Model

Nama Penulis: Tan Yew Chin, Sim Sze Kiat, Hizal Ghazali Faizul, Wutian Wu dan Jafri Malin Abdullah
Jurnal: Malaysian Journal of Medical Sciences, jil. 24, no.1, 2017 
 
Kategori: ANUGERAH EDITOR NASKHAH BUKU TERBAIK
(Bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial)
Nama Editor Naskhah: Cik Noor Sheela Suratman
Judul: Amalan Tebus Guna Tanah, Reka Bentuk Bandar dan Seni Bina di Malaysia 

Kategori: ANUGERAH EDITOR NASKHAH BUKU TERBAIK
(Bidang Sains, Teknologi dan Perubatan)
Nama Editor Naskhah: Cik Marina Azmi
Judul: Pemodelan Hakisan Tanih Menggunakan Teknik 137Cs

“Saya menyeru kepada semu ahli Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia (MAPIM) agar dapat meningkatkan penulisan serta memperhebatkan dan menerapkan elemen-elemen ke arah Fourth Industrial Revolution,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir ketika berucap merasmikan majlis mewakili Menteri Pendidikan Tinggi.

“Tahniah kepada semua para pemenang Anugerah MAPIM-KPT 2017 dan terima kasih atas daya usaha dan bertungkus lumus dalam penerbitan ilmiah,” tambahnya lagi.

Pada tahun 2017, sebanyak 1,924 judul diterbitkan oleh ahli MAPIM iaitu peningkatan sebanyak 47% berbanding tahun 2016, hanya 1,303 penerbitan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan mewakili Naib Canselor USM dan juga Ombudsman USM yang juga Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1632

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024