MAJLIS SANJUNGAN BUDI RAIKAN MANTAN PENGERUSI DAN AHLI LGU SERTA TNC P&I
PULAU PINANG, 27 April 2018 – Majlis Sanjungan Budi diadakan malam tadi bagi meraikan Mantan Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan ahli LGU, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir serta Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi (TNC P&I) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, perpisahan ini bukanlah perpisahan selamanya tetapi perhubungan dan jalinan akan berterusan selamanya bersama USM, “Once USM, Always USM”.
“Saya memandang Tan Sri sebagai ‘Man of Empower’ manakala Muhamad sebagai ‘Man of Integrity and Principle’,” tambah Naib Canselor ketika mengimbau kenangan bersama kedua-dua tokoh tersebut termasuk juga Siti Hamisah yang tidak dapat hadir pada majlis berkenaan.
Zulkefli, 67, adalah seorang yang sangat cekap dalam pentadbiran dan mula dilantik sebagai Pengerusi LGU pada 1 April 2012 sehingga 31 Mac 2018. Sepanjang tempoh pelantikan tersebut, banyak kejayaan telah dicapai dan antaranya USM kekal antara kelompok Universiti Penyelidikan yang terbaik dan peningkatan ranking USM serta penubuhan beberapa Pusat Kecemerlangan (CoE) seperti Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano-Optoelektronik (INOR) dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV).
Manakala Muhamad yang dilantik sebagai TNC P&I mulai 1 Februari 2013 sehingga 30 April 2018 telah memulakan jalinan kerjasama dengan beberapa institusi di Republik Czech serta United Kingdom seperti University of Bath dan Southampton. Beliau juga dipertanggungjawabkan untuk memulakan projek USM@Johol dan sebanyak 11 projek telah dipilih sebagai projek perintis.
Siti Hamisah pula mula dilantik sebagai Ahli LGU yang mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi pada 1 Disember 2015 sehingga 30 November 2018 namun disebabkan kekangan masa dan kepentingan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, lantikannya telah dipendekkan sehingga 31 Disember 2017.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah ahli-ahli LGU, Pengurusan Tertinggi Universiti dan juga ketua-ketua jabatan.
Seluruh warga USM mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua mantan LGU dan TNC dan juga setinggi-tinggi tahniah kepada Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed atas lantikan sebagai TNC P&I mulai 1 Mei 2018 sehingga 30 April 2021.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1318