USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKA-SUKI SUKAN RAKYAT IMBAU ZAMAN KANAK-KANAK

USM, KUBANG KERIAN, 27 April 2018 – Batu seremban, ting ting, tarik upih dan galah panjang antara permainan yang cukup terkenal suatu masa dahulu. Namun ianya semakin dilupakan dek perubahan zaman dan kewujudan gajet-gajet canggih dewasa ini. 

Bagi mengembalikan nostalgia serta menyemarakkan semula permainan tersebut, Pusat Kokurikulum Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan dengan kerjasama Kursus Pengurusan Acara mengadakan program Suka-suki Sukan Rakyat yang disertai oleh pelajar-pelajar serta kakitangan kampus.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan, Hasuaniza Hassan yang juga merupakan tenaga pengajar Kursus Pengurusan Acara, program ini diadakan bagi mengembalikan semula keseronokan zaman kanak-kanak dengan permainan tradisional. 

"Program ini bertujuan memberi pendedahan dan penilaian kepada pelajar dalam menganjurkan sesuatu acara bukan hanya melalui teori semata-mata malahan mengaplikasikannya dalam aktiviti sebenar.

Selain untuk mengeratkan silaturahim yang kian pudar akibat kesibukan hidup sebagai seorang pelajar, program ini juga membolehkan mereka mengenali permainan tradisional dan yang lebih menarik, ianya turut mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar berbangsa Cina dan India", ujar beliau. 

Acara yang dipertandingkan dibahagikan kepada dua kategori iaitu individu dan berkumpulan. Antaranya ialah congkak, batu seremban, gusti tangan, karom, ting ting, ceper, dam aji, lompat tali, tuju guli dan lidi bagi acara individu manakala bagi acara berkumpulan adalah tuju tin, galah panjang, bola beracun, futsal kain pelikat, tarik upih, musang berjanggut, boling kelapa dan zam zam ala kazam.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Hasuaniza Hassan & Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 1185

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024