USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KPPM KONGSI CABARAN PENDIDIKAN BERSAMA WARGA USM

PULAU PINANG, 22 April 2018 – Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Dr. Amin Senin berkongsi cabaran semasa dan hala tuju bidang pendidikan di negara ini dengan warga Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya bakal-bakal guru dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dalam syarahannya di sini baru-baru ini.

Beliau dijemput khas ke USM bagi sesi perkongsian pengalaman melalui Siri Syarahan Umum Peringkat Kebangsaan bertajuk ‘Mengembalikan Roh Perguruan ke Landasan Hakiki’, yang berkisar kepada perkembangan drastik dalam bidang pendidikan yang menuntut perubahan bagi menanganinya.

Amin yang juga alumni USM (B.Sc.Ed [Hons]) berpengalaman luas dalam bidang latihan dan kepimpinan pendidikan. Beliau terlibat secara langsung dalam Kajian Semula Pendidikan Negara dan program-program Transformasi Pendidikan (GTP 2.0) serta menggerakkan program Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah antara kesinambungan penglibatan beliau bersama pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia dan pelbagai agensi lain yang berkaitan ke arah memperkasa bidang pendidikan setaraf negara-negara maju.

Tokoh yang berasal dari Sandakan Sabah ini juga adalah seorang penulis berbakat dan telah menghasilkan pelbagai penerbitan serta buku, antaranya adalah Pembelajaran Aktif dalam Pembangunan, Latihan Kepimpinan Pendidikan dan pelbagai lagi yang berteraskan kepada pembangunan profesional keguruan di persada tempatan dan antarabangsa.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah mewakili Naib Canselor USM; Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Tuan Mohd Jamil Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 721

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024