USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANTAN NC TURUN PADANG SAMPAIKAN ALUMNI TALK 2018

mantan NC

NIBONG TEBAL, 20 April 2018 – Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga Presiden Persatuan Alumni USM (PAUSM) Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak turun padang menyampaikan Alumni Talk 2018 bertajuk “Memperkasa Roh APEX: Apa Peranan Universiti, Staf, Pelajar dan Alumni?” di sini hari ini.

Beliau yang memegang jawatan Naib Canselor selama 11 tahun (2000-2011) adalah tokoh yang telah berjaya meletakkan USM sebagai satu-satunya universiti awam di negara ini yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk memegang status Accelerated Programe for Excellence (APEX) pada tahun 2008.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan beliau menyatakan bahawa pencapaian sebagai universiti sulung dalam memegang status APEX adalah sangat membanggakan dan menjadi milestone dalam sejarah USM.

“Sejak kepimpinan Dzulkifli di USM dan sehingga ke hari ini, USM memfokuskan kepada kelestarian dunia, kemanusiaan dan masa depan manusia sejagat dengan pengenalan kepada pelbagai prinsip yang menjurus kepada tiga isu ini,” tambah Asma.

Naib Canselor USM turut menambah bahawa seiring dengan status APEX yang diperolehi, USM sentiasa bercita-cita untuk menanamkan nilai-nilai dan teras utama untuk dipegang dan dilaksanakan oleh warganya iaitu staf, pelajar dan tidak ketinggalan, para alumni.

mantan nc 2

Dzulkifli melalui perkongsiannya telah menekankan akan kepentingan dalam memastikan kemanusiaan sebagai salah satu nilai yang paling penting dalam menuju ke arah kelestarian seperti yang telah ditekan USM melalui visinya iaitu Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.

Malah, beliau turut menyokong usaha yang dilakukan Asma dalam menjadikan USM sebagai sebuah universiti yang mendahului atau sulung melalui pemikiran-pemikiran kritis dalam bidang yang pelbagai.

Pemilihan Kampus Kejuruteraan sebagai tuan rumah pertama untuk siri Alumni Talk 2018, turut menarik perhatian Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang telah melahirkan rasa berbangga beliau akan penganjuran siri ini.

Selain daripada itu, beliau turut sama berkongsi akan sumbangan Dzulkifli dalam pembangunan Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal semasa beliau menjadi Naib Canselor dari tahun 2000 hingga tahun 2011 kepada lebih kurang 300 orang yang hadir.

Turut hadir adalah Pendaftar, Dr. Musa Ali; Bendahari, Dr. Rohayati Mohd. Isa; Ketua Pustakawan, Puan Engku Razifah Engku Chik dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Dr. Norazharuddin Shah Abdullah.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 1289

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024