USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKENAL PROJEK TRANSFORMASI TERNAK LEBAH KELULUT UNTUK BANTU TINGKATKAN EKONOMI PENDUDUK BESUT

ghjghj

BESUT, TERENGGANU, 21 April 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan projek Transformasi Penternakan Lebah Kelulut yang sebelum ini dijalankan di Kedah dan Perak ke daerah Besut bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, istimewanya projek Kelulut@Besut ini adalah buat pertama kalinya selain dari ladang berkelompok, ia juga dilengkapi dengan makmal pemprosesan dan juga galeria.

“Kelainan ini akan memposisikan Besut sebagai pengeluar madu kelulut premium yang bernilai tinggi bukan sahaja dalam kalangan pelawat tempatan tetapi juga pelancong asing.

“Buat permulaan seramai 75 orang peserta perintis di bawah E-kasih dan keluarga kumpulan B40 di daerah ini terpilih untuk melaksanakan projek penternakan kelulut menggunakan inovasi Mustafa-Hive dan Sistem Hilda kelolaan penyelidik USM, Dr. Mohd. Zulkifli Mustafa,” katanya.

Tambah Asma, ‘Translational Research’ialah penyelidikan yang terhasil dari penyelidikan di universiti dan menghasilkan ‘outcome’berimpak kepada kerajaan, komuniti, dan akademia serta diterjemahkan kepada komuniti dalam usaha mentransformasi komuniti selaras dengan hasrat kerajaan dalam mensejahterakan masyarakat yang terkandung dalam Blueprint Pendidikan Tinggi Negara dan Strategi Lautan Biru.

“Tahniah kepada Dr. Mohd Zulkifli dan pasukannya yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab memperkasakan komuniti dalam usaha memartabatkan produk hiliran madu kelulut dari Kawasan Besut, Terengganu.

“Usaha sebegini melambangkan Universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi atau menara gading, tetapi adalah institusi penyebaran ilmu, tempat di mana pengetahuan dikumpul dan penemuan baharu diterokai, disampaikan kepada pelajar, dan disalurkan kepada komuniti demi memenuhi sebuah harapan yang menggunung,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di ladang kelulut selepas Majlis Perasmian Projek Penyelidikan Strategik Bagi Transformasi Penternakan Lebah Kelulut Untuk Penghasilan Madu Premium Berasaskan Inovasi Mustafa-Hive dan Hilda System yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh di Kampung Bukit Kenak, Jertih di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, pegawai-pegawai utama Kementerian Pendidikan Tinggi dan USM serta penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Projek yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa berkata, projek ini bukan sahaja memberi ilmu untuk menternak kelulut, malah hasil inovasi yang dilaksanakan juga dapat menjamin kelestarian alam kerana inovasi Mustafa-Hive tidak memerlukan batang pokok untuk membina rumah lebah.

"Sistem dehidrasi madu atau lebih dikenali Sistem Hilda juga dapat menjamin kualiti madu yang dihasilkan kerana melalui sistem ini, air yang terdapat dalam madu dapat dinyahkan bagi menghilangkan buih dan mengurangkan rasa masam.

“Madu kelulut yang dihasilkan berkualiti premium untuk pasaran antarabangsa dan nilai jualannya meningkat dari RM150 sekilogram (kg) kepada RM700 sekilogram," katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 1535

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024