PROJEK 3M 2.0: “EJA DENGAN BETUL” USAHA MEMPERKASA DAN MEMARTABAT BAHASA KEBANGSAAN
USM, PULAU PINANG, 21 April 2018 – Buat pertama kalinya Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Sekretariat Sukarelawan India menganjurkan pertandingan “Eja Dengan Betul” dan telah berjaya menarik minat penyertaan 20 buah sekolah dari sekitar Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
Inisiatif Projek Menyemai, Memartabat dan Memperkasa Bahasa Melayu 2.0 (Projek 3M 2.0) itu berjaya membawa hampir 150 orang pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil zon utara bagi menyertai pertandingan tersebut, dan ia merupakan antara langkah diambil bagi usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Pada majlis perasmian penutupnya, wakil Naib Canselor merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar berkata, beliau amat berbangga dengan penganjuran pertandingan ‘Eja Dengan Betul’ ini kerana ia merupakan kaedah terbaik buat pelajar bagi memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu khususnya di sekolah vernakular sebagai medium perpaduan nasional.
“Langkah ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang inginkan semua pelajar khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menguasai Bahasa Melayu dengan baik bagi mengukuhkan perpaduan di negara ini.”
Jelasnya lagi, program seumpama ini perlu diperbanyakkan lagi untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar India khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
“Harapan saya ia juga dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada pelajar-pelajar SJKT tentang kepentingan Bahasa Melayu sebagai satu wadah komunikasi yang penting, khususnya apabila berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), di samping memupuk semangat mereka untuk fasih dalam Bahasa Melayu,” kata Md. Salleh yang juga Ombudsman USM.
Selain itu beliau juga berharap penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah dapat disemai, dipupuk dan dimartabatkan melalui program sebegini dan apa juga yang diusahakan pada hari ini akan memberi impak yang besar kepada masa hadapan pelajar.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan ‘Eja Dengan Betul’.
Yang turut hadir adalah Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Mohamad Abdullah; Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Razali Che Mat; Penasihat Sekretariat Sukarelawan India, USM, Subramaniam Govindan dan Pengarah Projek 3M 2.0, Selva Raw Devadas.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1861