MARTABATKAN TERJEMAHAN DEMI PEMBANGUNAN BANGSA DAN NEGARA
USM, PULAU PINANG, 21 April 2018 – Pembangunan bangsa dan negara tidak mampu dicapai jika terjemahan bahasa tidak dimartabatkan demi pembangunan generasi akan datang.
Apatah lagi Malaysia yang cukup sinonim dengan kepelbagaian bangsa, etnik dan budaya, terjemahan dari satu bahasa ke bahasa amat penting selain saling memahami antara budaya dan merapatkan jurang di antara bangsa.
Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Narimah Samat berkata, terjemahan sememangnya amat penting buat generasi kini terutamanya dalam menyalurkan ilmu-ilmu berguna dari luar mahupun dalam negara untuk manfaat masyarakat di sini.
“Sememangnya terjemahan perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan dalam usaha memartabat dan menyayangi bahasa kebangsaan kerana melalui terjemahan kita dapat membudayakan ilmu secara lebih bermakna kepada masyarakat.”
Tambah beliau, terjemahan sepatutnya perlu dilatih dari peringkat pendidikan rendah bagi membantu generasi akan datang mudah memahami kepelbagaian budaya dan bangsa seterusnya mampu menguasainya selain budaya bangsa sendiri.
Beliau berucap ketika merasmikan majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menterjemah Sekolah Menengah Negeri-Negeri Utara Semenanjung Malaysia (PENMEN II) di Dewan Kuliah U di sini hari ini.
Selain itu Narimah juga berharap pertandingan ini akan dilebar luas ke peringkat kebangsaan agar masyarakat sedar bahawa kemajuan sesebuah tamadun manusia adalah bermula dengan terjemahan.
“Pertandingan seperti ini wajar diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi supaya guru, pendidik dan pelajar lebih cakna dalam terjemahan seterusnya membantu mereka memupuk cintakan ilmu dan menyayangi bahasa kebangsaan,” katanya lagi.
Turut hadir adalah Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan & Interpretasi (BATI), PPIK, USM, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong; Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), Dato’ Goh Hin San dan isteri Datin Lee Ngeok Lan serta wakil Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Pulau Pinang, Khairul Anum Mohd Ali.
Goh berkata antara tujuan diadakan pertandingan ini adalah untuk menyedarkan orang ramai termasuk pihak sekolah bahawa terjemahan amat penting walaupun kita maklum yang rakyat Malaysia fasih bertutur Bahasa Melayu.
“Terjemahan seringkali dianggap tidak penting kerana majoriti rakyat Malaysia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik, walhal mereka tidak sedar bahawa terjemahan memainkan peranan penting dalam penyaluran ilmu dan pengetahuan untuk pembangunan negara kita.”
Beliau turut berbangga kerana buat kali kedua penganjuran pertandingan ini berjaya menarik minat penyertaan 18 buah sekolah menengah dari zon utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dan pastinya akan diperbesarkan lagi pertandingan ini ke peringkat kebangsaan pada masa hadapan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 2594