JABATAN PEMBANGUNAN JUARA BOLA SEPAK SUKJAB USM 2018

IMG 0323 800x600

PULAU PINANG, 14 April 2018 – Jabatan Pembangunan Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Sukan Antara Jabatan (SUKJAB) apabila berjaya menundukkan Jabatan Keselamatan USM dengan jaringan 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung semalam.

Lebih manis buat ketua pasukan Jabatan Pembangunan, Mubarak Kamal apabila berjaya meledak kedua-dua gol pada separuh masa kedua bagi memastikan kemenangan mutlak buat Jabatan Pembangunan bagi edisi tahun ini.

Perlawanan pada separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermain lebih berhati-hati dan turut menyaksikan beberapa serangan dilakukan yang hampir membolosi gawang, tetapi dinafikan oleh penjaga gol.

IMG 0050 800x600

IMG 0044 800x600

Peluang emas terhidang buat Jabatan Pembangunan pada minit ke-25 apabila Nizam Abas berjaya melepasi pertahanan Jabatan Keselamatan dan melakukan tendangan padu dari luar kotak penalti namun tersasar di kiri palang walaupun penjaga gol, Khairul Anuar telah tertewas.

Gerakan demi gerakan dibuat dengan meletakkan penyerang licik Mohd Basir Mohd Nape yang banyak mengucar kacirkan pertahanan Jabatan Keselamatan sehinggalah minit ke-36 peluang keemasan tiba lagi melalui tendangan padu oleh Mubarak Kamal hanya sedikit melewati palang gol.

Beberapa percaturan dan serangan balas turut dilakukan oleh Jabatan Keselamatan menerusi penyerang dan ketua pasukannya, Muhammad Afzan Zainal Abidin, namun gagal menembusi gawang sehingga ke minit akhir separuh masa pertama terikat 0-0.

Separuh masa kedua menyaksikan detik manis buat Jabatan Pembangunan apabila serangan dilancar bertali arus ke gawang Jabatan Keselamatan berjaya membuahkan hasil apabila sepakan percuma diambil Mubarak Kamal dari jarak 20 meter berjaya membolosi gawang selepas Hakim Md Kasim dijatuhkan di luar kotak penalti di minit ke-75.

IMG 0285 800x600 

Bayangan kemenangan hampir pasti buat Jabatan Pembangunan apabila minit ke-85 sekali lagi Mubarak bertindak cemerlang menghidu kesilapan penjaga gol yang terkeluar dari posisi gawang lantas melakukan tendangan dari tengah padang dan gagal ditepis keluar oleh pertahanan meletakkan Jabatan Pembangunan mendahului 2-0.

Jabatan Keselamatan lantas melakukan serangan bertali arus pada minit-minit akhir bagi merapatkan jurang namun gagal dan berakhir dengan kemenangan memihak kepada Jabatan Pembangunan.

IMG 0115 800x600

IMG 0139 800x600

IMG 0161 800x600



Dengan kemenangan ini Jabatan Pembangunan membawa pulang medal, hamper dan piala pusingan. Manakala pemain terbaik perlawanan disandang oleh pertahanan Jabatan Keselamatan, Mahathir Muhamad dan tempat ketiga jatuh kepada Pusat Pengajian Sains Farmasi.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir adalah suami kepada Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Pengarah Jabatan Pembangunan USM, Arman Abdul Razak; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Mohd Hanif; Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Prof. Madya Dr. Sundramoorthy A/L M. Pathmanathan dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015