INBASE BERI PELUANG JURUTERA PERKASA PROFESIONALISME
PULAU PINANG, 6 April 2018 – Program latihan Industry Based Certification (INBASE) disifatkan sebagai platform terbaik dalam meningkatkan kecekapan profesional para jurutera yang sedang berkhidmat dan bakal jurutera di negara ini.
Kursus di bawah program INBASE turut direka khas bagi memperkasa kursus di peringkat Ijazah Sarjana Sains (Rekabentuk Sistem Elektronik) yang ditawarkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), selain menjadi inisiatif mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 melalui inisiatif re-skill, up-skill dan multi-skill profesion berkenaan.
INBASE ditawarkan melalui kerjasama triple-helix di antara The Human Resources Development Fund (HRDF), American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) dan USM melalui anak syarikatnya, USAINS Holding.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, INBASE disifatkan sebagai pemangkin kepada industri kejuruteraan elektronik dan elektrik (E&E) yang telah lama bertapak di negara ini khususnya di Pulau Pinang.
“USM komited dan berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kerjasama ini yang telah berjaya membuktikan kemampuan melatih jurutera berkemahiran melalui latihan dan kursus-kursus yang dibangunkan secara strategik dalam program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Khas Projek INBASE yang memperlihatkan sejumlah 278 peserta menerima sijil kecemerlangan bagi program yang diikuti masing-masing di sini hari ini.
Program perintis yang mula dilaksanakan pada 2017 berkenaan telah melibatkan 490 jurutera meliputi bidang: industrial up-skilling, advanced up-skilling, program latihan teknikal enam bulan serta 20 hari, Sarjana Sains pascasiswazah dan program Ijazah Sarjana sepanjang tahun untuk profesional kejuruteraan.
HRDF sehingga kini telah memperuntukkan dana berjumlah RM33.3 juta bagi menjayakan program berkenaan dan turut melihat potensi untuk dikembangkan bagi memberi lebih banyak peluang meningkatkan kecemerlangan para profesional kejuruteraan di negara ini.
Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Muhammad Ghazali Abdul Aziz, Chief Special Purpose Vehicle HRDF yang mewakili Ketua Eksekutif HRDF; Pengerusi MAEI, AMCHAM, Dato' Wong Siew Hai; Pemangku Pengarah Urusan, USAINS Group, Farid Wajidi serta ketua-ketua jabatan agensi swasta dan USM.
Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias/Nurul Huda Abdullah/Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1447