KAJIAN TOKSIKOLOGI KIMIA: USM METERAI MoA DENGAN RAKAN STRATEGIK DARI CHINA

Exchange of MoA

PULAU PINANG, 3 April 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Racun Negara (PRN) telah menandatangani perjanjian kerjasama (MoA) dengan Institute of Health Inspection and Testing (IHIT), Hubei Provincial Centre for Disease Control (HBCDC), China di dalam menjalankan kajian toksikologi kimia.

Kajian toksikologi itu adalah yang berkaitan dengan bahan kimia Polychlorinated Dibenzo Dioxins (PCDDs), Polychlorinated Dibenzo Furans (PCDFs) dan dioxin-like Polychlorinated Biphenyl (dl-PCBs) di dalam sampel biologi khususnya susu ibu dan serum darah yang telah dikumpulkan di Malaysia.

Signing2

Majlis menandatangani MoA tersebut yang berlangsung pada 26 Mac yang baru berlalu telah dihadiri oleh Pengarah PRN, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Isa Abd Majid yang mewakili Naib Canselor USM beserta penyelidik-penyelidik yang terlibat dengan kajian tersebut. Manakala IHIT telah diwakili oleh Naib Pengarah HBCDC, Profesor Dr. Li Yang dan Naib Pengarah IHIT, Dr. Wen Sheng berserta penyelidik-penyelidik IHIT.

IHIT HBCDC merupakan sebuah institusi awam yang dibangunkan di bawah Hubei Provincial Centre for Disease Control and Prevention, China.  IHIT adalah makmal yang berkemahiran di dalam menganalisis bahan pencemar organik berkekalan (persistent organic pollutants, POPs) di dalam makanan, sampel persekitaran dan biologi.  

Mohamed Isa berkata, kerjasama dengan IHIT akan memberi manfaat besar kepada USM khususnya dalam bidang penyelidikan kerana IHIT terkenal sebagai makmal rujukan kebangsaan dalam analisis Dioksin terutamanya yang berkaitan kesihatan manusia dan pencemaran alam sekitar. 

Group photo

Tambah beliau, MoA tersebut telah menggariskan IHIT akan menjalankan analisis terhadap sampel susu ibu yang akan disediakan oleh PRN dan hasil daripada laporan analisis tersebut, PRN bersama-sama IHIT akan menerbitkan kertas saintifik antarabangsa yang berimpak tinggi.

Hasil perbincangan lanjut pada majlis tersebut, kerjasama antara USM dan IHIT akan diteruskan lagi di dalam pelbagai kerja penyelidikan POPs yang melibatkan kesan terhadap kesihatan manusia, penerokaan perhubungan di antara pendedahan POPs dengan penyakit kronik termasuk kajian polisi kesihatan yang dapat memberi manfaat kepada manusia sejagat.

Teks asal dan foto: Pusat Racun Negara/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015