PROGRAM TEAM BUILDING: MAHASISWA USM-KPT (PoliPD) BINA BUDAYA KERJA BERPASUKAN YANG MANTAP
AYER KEROH, 26 Mac 2018 – Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Program Pesisir Ijazah Sarjana Muda Sains Perumahan, Bangunan dan Perancangan (Senibina) dari kampus USM-KPT (PoliPD) telah mengadakan satu program semangat bekerja berpasukan ('team building’) yang bertemakan ‘Kami Memimpin’.
Program ini diadakan pada 13 hingga 15 Mac 2018 bertempat di Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park dan Redtma Recreation Sport Centre, Ayer Keroh, Melaka melibatkan keseluruhan mahasiswa dari kampus ini seramai 95 orang yang merangkumi mahasiswa tahun satu, dua dan tiga serta dua orang pensyarah pengiring.
Pengarah Program, Mohammad Aizad Ishak berkata, program tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pelajar junior dan senior di samping membentuk budaya kerja berpasukan yang mantap selain menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan pengalaman berkenaan dengan kepimpinan.
“Kami memilih tema ‘Kami Memimpin’ kerana ia selari dengan motto USM dalam melahirkan mahasiswa yang berkepimpinan tinggi.
“Saya sangat bersyukur kerana program ini berjalan dengan lancar walaupun julung kalinya diadakan dan berharap agar program ini dapat menjadi program tahunan bagi kampus USM-KPT (PoliPD) ini,” katanya.
Pelbagai aktiviti berbentuk "Team Building" diadakan seperti Kayaking, Wall Climbing, Abseiling, Flying Fox, Night Walk, Orienteering dan Team Development.
“Kesemua aktiviti yang dilakukan memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi di samping melatih para mahasiswa untuk bersikap berdaya saing sebelum melalui situasi sebenar apabila tamat pengajian kelak,” tambah Mohammad Aizad.
Teks: Wan Mohamad Fadhil Wan Osman/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Muhammad Safwan Mohd Nuri & Muhammad Hanif Muhamad
- Created on .
- Hits: 2103