DELEGASI USM TERUSKAN PERBINCANGAN JAYAKAN USM@JOHOL
PULAU PINANG, 27 Mac 2018 – Delegasi Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan pertemuan khas bagi membincangkan projek USM@JOHOL dengan lebih lanjut bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Negeri Sembilan (NS) semalam.
Perbincangan merangkap pembentangan projek-projek khusus yang bakal dilaksanakan di Johol berkenaan dipengerusikan oleh Pengarah UPEN, Dato’ Hasnul Mohamed manakala delegasi USM pula diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
Asma dalam pertemuan itu menyatakan hasrat utama USM dalam menyahut pelawaan Undang Luak Johol bagi membangunkan kawasan berkenaan adalah atas dasar ingin memberi sumbangan dari sebuah institusi ilmu kepada komuniti yang memerlukan.
“Projek-projek yang kita cadangkan untuk dibangunkan di Johol telah pun berjaya dilaksanakan di tempat-tempat lain dan terbukti ia bukan sekadar memberi manfaat dari aspek pembangunan kawasan setempat malah membantu dalam menaiktaraf sosio-ekonomi penduduk,” ujarnya.
Antara projek-projek yang dijangka terlibat adalah:
- Pengumpulan ‘Baseline Data’ dan Kajian Sosio-Ekonomi Penduduk Johol;
- Pengeluaran Produk Hiliran Keli Premium;
- Transformasi Penternakan Lebah Kelulut Lestari dan ‘Hygienic’ Berasaskan Inovasi Mustafa-Hive;
- Penanaman Super Fruits;
- Pelancongan Berasaskan Komuniti;
- Penawaran Program Pra-Universiti dan Diploma; serta
- Pembangunan Kampus Sementara USM@Johol.
Dalam pada itu, Hasnul pula mengalu-alukan kedatangan USM ke Johol dan berharap segala projek yang dicadangkan dapat dibangunkan selari dengan usaha kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan setempat di negeri berkenaan.
Katanya, banyak usaha telah dirangka untuk memajukan Negeri Sembilan di bawah rancangan NS Moden 2045, antaranya Pelan Pembangunan Halatuju Luar bandar yang meliputi aspek agro biodiversiti, pembangunan bakat, keusahawanan dan sebagainya yang boleh dibangunkan secara selari dan bersesuaian dengan usaha murni USM.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1518