‘20 SEN UNTUK KE SYURGA’
PULAU PINANG, 27 Mac 2018 – Hikmah bersedekah memang tidak dapat dinafikan lagi dan seringkali kita diingatkan untuk bersedekah walaupun dalam ketika kita tidak mempunyai banyak harta kerana keberkatan dan keikhlasan tersebut akan membantu dalam meningkatkan harta kita sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Hal ini turut dinyatakan oleh pendakwah selebriti yang juga penceramah jemputan ke Universiti Sains Malaysia (USM), Ustaz Mohd. Elyas Ismail yang mengupas tentang hikmah bersedekah dengan tajuk ceramah ‘20 Sen Untuk ke Syurga’.
“Saya sendiri berpengalaman dalam memberi sedekah di kala tidak mempunyai wang dan walaupun dengan hanya 20 sen, saya tetap bersedekah dan percaya Tuhan tidak memandang nilai yang diberikan namun niat dan keikhlasan dalam bersedekah,” ujar Mohd. Elyas sempena program Ceramah Wacana Ilmu 2.0 anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Indah Kembara (MPD IK) USM baru-baru ini.
“Di samping itu, kita perlu sentiasa memberikan penghargaan yang tinggi kepada kedua-dua ibu bapa serta menceburi bidang keusahawanan yang dapat memacu perkembangan ekonomi dengan menjadi usahawan dan tidak semata-mata bergantung kepada pekerjaan makan gaji.
“Graduan perlu berani mengambil cabaran ini kerana laluan sebagai usahawan akan membentuk keperibadian unggul sebagai ahli masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan negara. Islam juga amat menggalakkan umatnya menjadi usahawan dan menyahut seruan ini,” tambahnya yang juga mengasaskan sebuah syarikat konsultansi.
Menurut Penggawa Desasiswa Indah Kembara Dr. Darlina Md Naim, objektif penganjuran program ini adalah untuk memberi pengetahuan tambahan kepada para peserta daripada perspektif yang berbeza, iaitu di luar ruang lingkup pengajian di dalam kelas di universiti.
“Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan lebih 650 tiket telah terjual dan juga dihadiri oleh para mahasiswa dan tetamu luar USM termasuk pelajar-pelajar sekolah di sekitar Pulau Pinang.
“MPD IK telah bertungkus lumus semenjak bulan November 2017 untuk memastikan program ini berjaya dijalankan. Usaha keras mereka wajar diberi penghargaan kerana telah berjaya menguruskan program yang besar sebegini dengan kehadiran peserta yang amat menggalakkan,” tambah Darlina.
Program Wacana Ilmu 2.0 ini juga telah diserikan dengan persembahan oleh kumpulan nasyid USM iaitu Kumpulan HeadOne dan juga sesi menandatangani buku ‘20 sen untuk ke Syurga’ yang ditulis oleh Ustaz Mohd. Elyas Ismail.
Yang diPertua MPD IK, Cik Hanareisa (Komunikasi/3) menyatakan bahawa program ini mendapat kerjasama yang jitu daripada seluruh jentera MPD IK sepanjang menguruskan program ini.
“Semangat kerja berpasukan ini wajar diberi pujian dan penganjuran program sebegini merupakan latihan yang baik kepada mahasiswa dalam usaha membentuk graduan yang H.E.B.A.T.”
Teks asal: Dr. Amirah Mohd Ghazali/Suntingan: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1471