USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MOU USM-HCFS BUKA LEMBARAN BARU KERJASAMA BIDANG KAJIAN BAHASA MELAYU

hnhgjj

WENCHANG, CHINA, 22 Mac 2018 – Dalam usaha memperluaskan agenda pengantarabangsaan dan mengembangkan inisiatif kerjasama akademik dengan institusi-institusi pendidikan tinggi di China, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein baru-baru ini mengetuai rombongan delegasi USM berkunjung ke Hainan College of Foreign Studies (HCFS), di sini.

Dalam lawatan tersebut, Adnan yang mewakili Naib Canselor USM, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pihak USM dengan HCFS.

Mengikut Adnan, MoU itu akan membuka lembaran baharu kepada kedua-dua buah institusi untuk bekerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu melalui Program Pemindahan Kredit Pengajian Melayu/Bahasa Melayu PPIK, selain penubuhan pusat penyelidikan bahasa dan budaya Melayu di HCFS.  

ujujyj 800x600

“Saya turut menjemput HCFS untuk menyertai Asia-Pacific University Community Engagement Network (APUCEN) agar lebih banyak lagi program mobiliti seperti pertukaran pelajar dan staf dapat dijalankan secara efektif dan sistematik dengan jaringan institusi yang menjadi ahli APUCEN iaitu sejumlah 93 institusi dari 19 buah negara.  

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan, Presiden HCFS, Profesor Dr. Li Yufeng, berkata beliau yakin bahawa USM sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai universiti APEX dan universiti penyelidikan unggul, akan menjadi rakan kerjasama strategik HCFS dalam bidang pengajaran dan pembelajaran di samping penyelidikan dan penerbitan. 

"Bahagian Bahasa Melayu merupakan bahagian yang baru ditubuhkan pada tahun 2017 dan memerlukan  kerjasama serta bantuan daripada universiti luar seperti USM untuk menguatkan kursus-kursus yang ditawarkan," katanya semasa memperkenalkan HCFS yang kini menawarkan 17 bahasa asing dan tujuh daripadanya merupakan bahasa ASEAN termasuk bahasa Melayu. 

ujuyi 800x600

Selain Adnan, rombongan delegasi USM terdiri daripada Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Profesor Dr. Narimah Samat, dan Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong.

Yang turut menyambut kunjungan delegasi USM ialah Timbalan Presiden HCFS, Profesor Yang Xueqian; Dekan Jabatan Bahasa-Bahasa Timur HCFS, Profesor Guo Yanping serta pegawai dan guru bahasa Melayu HCFS.

Teks asal dan Foto: Dr. Goh Sang Seong/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1235

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024