USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LEBAR SAYAP KE CHINA, JALIN KERJASAMA BIDANG KAJIAN BAHASA MELAYU DAN TERJEMAHAN

yutyuty

NANNING, CHINA, 21 Mac 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus melebarkan sayapnya ke negara China dengan menjalin kerjasama strategik dua hala dengan Guangxi University for Nationalities (GXUFN), China. 

Delegasi USM yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor  (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, mewakili Naib Canselor bersama dengan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Profesor Dr. Narimah Samat dan Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, telah mengadakan lawatan rasmi ke GXUFN, di sini baru-baru ini. 

Adnan berkata, USM bersedia menerima pelajar jurusan Bahasa Melayu dari GXUFN untuk mengikuti Program Pemindahan Kredit Pengajian Melayu/Bahasa Melayu yang berlangsung selama 1-2 semester di PPIK.

“Program ini menawarkan kursus-kursus yang melibatkan bahasa, budaya, kesusasteraan, sejarah dan tamadun Melayu. Pakej ini amat sesuai dengan keperluan pelajar antarabangsa yang mengikuti jurusan Bahasa Melayu bagi tujuan pelatihan kemahiran berbahasa khususnya untuk tujuan penterjemahan," katanya.

Timbalan Presiden GXUFN, Profesor Dr. Cui Xiaolin, dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan bahawa universiti mereka amat berbesar hati untuk menerima kunjungan delegasi USM.

hjkgkk 640x480

“Sebagai sebuah universiti yang berteraskan bahasa-bahasa asing, GXUFN sentiasa mencari peluang untuk menjalin kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran, serta penyelidikan dan penerbitan dengan universiti-universiti dari seluruh dunia terutamanya dengan universiti cemerlang seperti USM,” katanya. 

Semasa lawatan rasmi ini, memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan GXUFN turut dimeterai.

Melalui MoU ini, USM dijangkakan akan menerima kumpulan pelajar jurusan Bahasa Melayu GXUFN yang pertama mulai tahun 2019 di samping pelbagai kerjasama lain dalam pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan penerbitan.   

Sementara itu, Goh turut diundang untuk menyampaikan syarahan tentang kebolehterjemahan budaya China-Melayu kepada pensyarah dan pelajar jurusan Bahasa Melayu GXUFN. 

Teks asal dan Foto: Dr. Goh Sang Seong/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1369

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024