DUA PROFESOR PAKAR MATA KETENGAHKAN TOPIK GLAUKOMA DAN SARAF OPTIK
USM KUBANG KERIAN, 18 Mac 2018 – Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan oleh Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) kali ini mengetengahkan dua topik berkaitan mata iaitu 'Menelusuri Rahsia Penyakit Glaukoma Dalam Etnik Melayu' oleh Profesor Dr. Liza Sharmini Ahmad Tajuddin dan 'Spektrum Penyakit Saraf Optik Di Malaysia' oleh Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam.
Menurut Profesor Dr. Liza Sharmini, glaukoma merupakan penyebab utama kebutaan yang tidak dapat dipulihkan.
"Pemahaman tentang penyakit ini adalah penting dalam pencegahan kebutaan ke arah kebutaan sifar. Oleh yang demikian, pengetahuan klinikal dan saintifik tentang penyakit ini penting bagi pencegahan kebutaan di Asia kerana kebutaan akibat glaukoma di Asia lebih tinggi berbanding benua-benua lain di dunia."
Sementara itu, Dr. Wan Hazabbah pula mengupas topik berkaitan saraf optik yang mana penyakit saraf optik disebabkan oleh cakaran kucing boleh mengakibatkan rabun teruk yang kekal pada pesakit.
Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor merupakan satu medium bagi seseorang profesor mengetengahkan ilmu dan penyelidikan untuk dikongsi dengan masyarakat umum.
Majlis syarahan tersebut telah dihadiri oleh seramai 200 orang termasuk ahli keluarga kedua-dua profesor.
Turut hadir adalah Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur; Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter USM, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad; Setiausaha Kehormat MPN Chapter USM, Profesor Dr. Zilfalil Alwi dan Timbalan Dekan Pelajar dan Jaringan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Dinsuhaimi Sidek.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri
- Created on .
- Hits: 1155