USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KES PENYAKIT SARAF OPTIK DI MALAYSIA SEMAKIN MENINGKAT

hjkgyu 640x480

USM KUBANG KERIAN, 18 Mac 2018 – Penyakit saraf optik merupakan penyakit yang utama dalam bidang neuro-oftalmologi dan menunjukkan peningkatan kes sejak akhir-akhir ini. 

Penyakit saraf optik merangkumi 33 peratus daripada jumlah kes neuro-oftalmologi yang mana pesakitnya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Neuro-oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam berkata, neuritis optik boleh ditakrifkan sebagai inflamasi pada saraf optik dan penyakit ini boleh menyebabkan kehilangan penglihatan yang akut.

“Dalam kajian yang dijalankan di Hospital USM, didapati 51.7 peratus puncanya tidak dapat dikenal pasti berbanding kajian di negara-negara barat, didapati sklerosis berbilang (multiple sclerosis) merupakan antara punca utama.

“Neuritis optik boleh dibahagikan kepada tiga jenis mengikut cara presentasi klinikal fundus antaranya neuritis optik retrobulbar, papilitis dan neuroretinitis,” ujarnya ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Spektrum Penyakit Saraf Optik di Malaysia’ di Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan di sini hari ini. 

Menurut Wan Hazabbah, antara penyakit neuritis optik yang sering dibincangkan ialah neuroretinitis iaitu inflamasi yang melibatkan saraf optik dan diska optik serta melibatkan bahagian makular, dan penyakit ini adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria Bartonella henselea.

yukyukyu 800x600



“Kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit neuroretinitis adalah pemelihara atau penggemar kucing. Apabila berlakunya cakaran atau gigitan kucing, bakteria
Bartonella henselea merebak kepada pesakit kerana bakteria ini dikesan terdapat dalam air liur kucing.

“Semasa melakukan ujian, kebanyakan pesakit yang menghidap neuroretinitis mempunyai tahap penglihatan yang kabur iaitu 61.6 peratus kurang daripada 6/18 dan 25 peratus pula kurang daripada 6/60. Namun, tahap penglihatan pesakit selepas menerima rawatan adalah sangat baik berbanding sebelum menerima rawatan,” jelasnya lagi.

Wan Hazabbah yang juga Pengerusi Jawatankuasa bersama Oftalmologi Universiti Malaysia berkata, penyakit neuroretinitis memerlukan penyiasatan lanjut untuk memastikan puncanya dan rawatan awal dengan antibiotik dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan tahap penglihatan seseorang pesakit.

Saraf optik terdiri daripada sel-sel ganglion dan mengandungi lebih sejuta fiber saraf. Ia terletak di belakang mata dan juga dikenali sebagai saraf kranium kedua yang berfungsi untuk menyampaikan maklumat retina kepada pusat penglihatan di otak melalui impuls elektrik.

Pada majlis yang sama, Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi PPSP Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Liza Sharmini Ahmad Tajuddin turut menyampaikan syarahan bertajuk 'Menelusuri Rahsia Penyakit Glaukoma Dalam Etnik Melayu'.  

Yang turut hadir ialah Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur; Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter USM, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad; Setiausaha Kehormat MPN Chapter USM, Profesor Dr. Zilfalil Alwi; Timbalan Dekan Pelajar dan Jaringan PPSP, Profesor Dr. Dinsuhaimi Sidek dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 1478

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024