USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CADANG BANGUN MENTOR DAN PERSATUAN ALUMNI MUDA

29339830 2003175386377506 847888207724244315 n

PULAU PINANG, 17 Mac 2018 – Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur yang juga penaung Persatuan Alumni USM (PAUSM) mengulangi cadangan agar membangunkan sistem mentor dalam kalangan alumni yang berjaya untuk membimbing siswazah muda dalam pelbagai bidang, industri mahu pun bisnes serta bagaimana membantu menjayakan agenda HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) yang juga menjadi lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan  Malaysia – Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. 

"Tugas alumni mentor ialah membantu dengan apa jua cara yang boleh termasuk membimbing, memotivasi malah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan seseorang atau sekumpulan anak muda ini mencapai kejayaan dalam jangka panjang," kata Mustafa.

Beliau turut mencadangkan agar alumni-alumni yang baru tamat pengajian menubuhkan persatuannya sendiri di bawah naungan persatuan alumni induk untuk bersama-sama mamainkan peranan memberikan sumbangan kepada universiti.

"Kita perlu mencari jalan tanpa letih dan putus asa untuk membangunkan chapter-chapter alumni di pelbagai pelosok dunia malah yang tidak kurang pentingnya ialah membangunkan chapter alumni muda yang bergraduan 10 tahun ke belakang ini untuk mereka bersosialisasi dalam budaya mereka tersendiri dengan affiliate kepada Persatuan Alumni USM," kata beliau.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-22 PAUSM, Mustafa turut meminta agar usaha  dibuat segera untuk menghasilkan penerbitan khas buku coffee-table dan senarai alumni berjaya dalam tempoh 50 tahun dengan mencari Who’s Who dalam kalangan alumni USM yang benar-benar memberi impak kepada komuniti dan dunia dalam pelbagai bidang, akademik, bisnes, industri, komuniti dan pelbagai lagi yang difikirkan sesuai. 

29366300 2003173859710992 2776073045840685883 n

"Sekaligus kita berusaha untuk meningkatkan lagi visibility alumni USM di peringkat dunia sebagai medan dan mekanisme meningkatkan employablility atau kebolehpasaran graduan pada masa hadapan," kata beliau.

Beliau turut mencadangkan agar aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian seperti Sirih Pulang Ke Gagang Jubli Emas, Persidangan Antarabangsa Alumni USM yang berfokus kepada endowmen, wakaf dan sebagainya, Khidmat Komuniti atau Sukarelawan Alumni Jubli Emas,  Kebolehpasaran Alumni Global dan banyak lagi dapat dirancang dari sekarang. 

Kita perlu lebih kreatif dan inovatif dalam melibatsama seluruh alumni yang ada dengan mengambil kesempatan dari Sambutan Ulang Tahun Ke-50 ini, mengadakan aktiviti merentasi zaman yang elok juga dimulakan dengan majlis tahlil dan doa secara besar-besaran  di Masjid Al-Malik Khalid untuk ramai alumni kita yang telah tiada termasuk mantan-mantan Naib Canselor dan rakan-rakan kita yang pergi dahulu dari kita," kata Mustafa.

Tegas beliau fokus aktiviti seharusnya adalah untuk melihat bagaimana peranan ilmu untuk melakukan perubahan atau Knowledge for Change (K4C) dapat dikembangkan dalam konteks kelestarian ilmu dan bagaimana para alumni USM dapat membantu dalam menjadikan ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin dengan pengalaman luas yang ada dapat dikongsi dan dikembalikan kepada anak-anak muda hari ini dalam melakukan perubahan kepada diri, kerjaya dan dunia seluruhnya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Presiden PAUSM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan seluruh ahli jawatankuasanya yang mengadakan pelbagai aktiviti termasuk pertemuan di Kuala Lumpur minggu lalu yang menghimpunkan lebih 300 orang alumni mahu pun pesara USM.

"Ini adalah sesuatu yang sangat bermakna apatah lagi dengan kejayaan membawa sama Kumpulan Atika Minden dan Tabula Rasa untuk bersama-sama dalam pertemuan tersebut yang berupaya memeriahkan lagi pertemuan ini dan mengembalikan nostalgia masa lalu. 

"Tentunya menarik juga jika Kumpulan Atika Minden dan mahasiswa hari ini melalui  Kumpulan Adikarma yang telah juga mengukir nama di pentas dunia dapat bergabung tenaga mengadakan persembahan gala, mungkin juga sempena Ulang Tahun Ke-50 atau perayaan jubli emas USM tahun hadapan," kata Mustafa.

Yang hadir dalam majlis ini ialah Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail di samping Presiden PAUSM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan isteri Puan Sri Masrah Abidin serta Ahli Lembaga Gabenor USM (mewakili Alumni), Dato’ Patahiyah Ismail.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1142

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024