USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM KEHILANGAN PERMATA TEATER BANGSAWAN

29178002 1709383352456024 7315835073377337344 n

PULAU PINANG, 15 Mac 2018 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) amnya dan Pusat Pengajian Seni (PPS) khasnya masih pilu dan sebak mengenangkan pulangnya lagenda dan permata teater bangsawan negara, Allahyarham Dr. Samat Salleh yang juga bekas pensyarah USM.

Menurut salah seorang pensyarah PPS, Halimi Mohamed Noh, Allahyarham adalah ‘abang’ kepada anak-anak didiknya dan ada ketika menjadi ‘ibu bapa’ kepada sebahagian daripada kenalannya. 

“Ada ketika Allahyarham menjadi ‘orang tua’ kepada pelajarnya untuk pergi meminang dan juga menyatakan hasrat dalam membina masjid,” kata Halimi ketika ditemui di pejabatnya di sini. 

“Hubungan antara pelajar dan juga Allayarham sangat rapat sehingga kami bersama-sama berkongsi kisah suka duka serta nasi dari periuk yang sama,” tambah Halimi.

“Jika di awal pengenalan kami sebagai anak didik dan guru, secara tidak diketahui oleh Allahyarham, saya berkahwin dengan anak saudaranya dan menjadikan hubungan kami lebih rapat sebagai ahli keluarga,” kata Halimi yang secara kebetulan bersama-sama Allayarham ketika menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kepala Batas, Selasa lalu. 

Dekan PPS, Dr. A.S. Hardy Shafii juga menyatakan rasa sedih kehilangan seorang rakan yang penyabar dan merendah diri yang dikenalinya sejak tahun 1990. 

“Saya menonton lakonan dan arahan Allahyarham semasa baru mengenal bidang teater dan Allahyarham adalah Pemeriksa Dalaman untuk Ph.D saya,” kata Hardy yang juga rakan permainan tenis bersama Allahyarham dalam Kelab Sukan Staf USM. 

Di samping warga PPS, Allahyarham sangat mesra dengan staf-staf lain mahupun dari pusat pengajian yang berlainan malah dengan semua warga USM. Menurut pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Rahimah Abdul Hamid, Allahyarham tidak menjarakkan hubungan antara staf dan pelajar malah dikenali dengan senyumannya di mana sahaja,” kata Rahimah. 

Tambahnya lagi, walaupun Allahyarham mesra dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja termasuk pelajar, ini tidak bermakna pelajar boleh mengambil kesempatan terhadap Allahyarham, sebaliknya lebih menghormatinya. 

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat masalah paru-paru serta meninggalkan isteri dan 6 orang anak. 

Allayarham dilahirkan pada 18 Mac 1945 dan memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1969. Kerjaya Allahyarham bersama USM bermula pada 1984 selama hampir 32 tahun sehingga bersara pada 2016.

Selain berlakon, Allayarham juga aktif mengarahkan pelbagai persembahan pentas teater dan antara karya Allayarham adalah drama berjudul Pintu, Si Kebayan, Atap Genting Atap Rumbia dan sebagainya.

Pengkarya hebat ini juga pernah dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Pesta Teater Kebangsaan 1977 dan pernah menyandang Pengarah dan Pelakon Lelaki Terbaik Pesta Teater Negeri Kedah.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain 

  • Created on .
  • Hits: 1501

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024