USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAINS DAN SENI PERLU SEIRING – TIMBALAN MENTERI MOSTI

DSC 6956 800x600

PULAU PINANG, 14 Mac 2018 – “Bidang sains dan seni perlu seiring serta saling melengkapi bagi menjadikan sesuatu bidang itu lebih berpengaruh,” demikian kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ketika merasmikan pameran Science and Arts Fest@MGTF 2018 dengan tema ‘Reviving Scientific Thinking In Society’ di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini. 

Menurut Abu Bakar, perkembangan bidang sains dan teknologi termasuk Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) menggalakkan pelajar untuk menceburi bidang ini dan kemuncaknya adalah apabila pelajar dalam bidang ini disahkan oleh Malaysia Board of Technology (MBOT) boleh menggunakan Professional Technology dengan Ts. (Technology) di pangkal namanya seperti Ir. untuk jurutera. 

DSC 6998 800x600

“MBOT yang diletakkan bawah MOSTI adalah untuk melahirkan satu profesion baharu iaitu Professional Technologist yang mengiktiraf penggunaan kemahiran dalam pelbagai bidang di samping praktikal atau amali,” tambah Abu Bakar yang juga mantan pensyarah USM. 

Katanya lagi, program ini merupakan pelantar penyebaran ilmu inovatif yang bersifat holistik di dalam membudayakan ilmu sains dan teknologi kepada masyarakat seluruhnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan mewakili Naib Canselor USM berkata, “Harapan saya semoga program ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang progresif dalam memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan seimbang dari segi akademik dan sahsiah.”

“USM sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi negara juga berperanan sebagai agensi yang membantu dan menyumbang terhadap kemajuan bidang sains, teknologi dan inovasi. 

DSC 7020 800x600

“Ini kerana kita tahu bahawa salah satu pengukur kepada pencapaian taraf negara maju adalah melalui pencapaian dan peningkatan bidang sains dan teknologi,” tambah Muhamad. 

Program Science and Arts Fest@MGTF 2018 ini dianjurkan oleh Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM dengan kerjasama Sidratul Corporation Sdn. Bhd. 

DSC 7002 800x600

Antara program yang dijalankan ialah Minggu Fizik, Minggu Astronomi dan Sains Angkasa, Minggu Kejuruteraan, Minggu Sains Kesihatan dan Teknologi Industri serta pameran tetap ‘House of Optics’ oleh Pusat Pengajian Sains Fizik USM.

Program ini mendapat kerjasama jabatan dan pusat pengajian USM termasuk pempamer luar iaitu Pusat Sains Negara, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Sidratul Corporation, Penang Astronomy Society, SKY Explorer Pulau Pinang, Sri Mas Trading, Wak Long Music and Arts Centre, Waris Anak Pulau dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia. 

Turut hadir ialah Pengarah MGTF, Zolkurnian Hassan; Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Haji Zulkafli Kamaruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidratul Corporation Sdn. Bhd, Ustaz Haji Ahmad Tajuddin Arshad. 

DSC 7047 800x600

Program ini berlangsung dari 5 Mac sehingga 20 April 2018 bermula jam 9.00 pagi - 5.00 petang. Untuk maklumat lanjut dan tempahan, hubungi En. Firdaus (019-2101119), En. Aizuan Azmi (04-6534789 / 016-4592415) atau Cik Hafizah (04-6534789 / 012-4439925).

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1303

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024