USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MINAT TERHADAP WAU TERBANGKAN STAF USM KE ITALI

gfhg 640x480

USM KUBANG KERIAN, 14 Mac 2018 – Menghasilkan sebuah wau yang menarik dengan pelbagai motif hiasan bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dalam kalangan orang muda. 

Namun ianya bukan khayalan bagi pemilik nama Muhd Azeimi Mohd Noor, 39, yang bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan, Dewan Bedah, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Lahir dari keluarga yang meminati warisan wau tradisional membolehkan beliau terlibat dengan permainan dan membuat wau seawal umur lima tahun. 

Kekreatifan beliau dalam bidang tersebut berkembang selari dengan usia sehingga dijemput menyertai 19th Festival del Vento di Spotorno, Itali pada 10 hingga 11 Mac 2018 yang lalu. 

yu56y5 640x480

Festival dua hari itu dianjurkan oleh 30 Kite Club dengan kerjasama CASA del TURISMO iaitu salah satu badan pelancongan di Itali.  

Menurut Azeimi, Malaysia dijemput khas untuk mengadakan demonstrasi pembuatan wau tradisional serta menerbangkan wau moden bagi menarik pengunjung dan memeriahkan lagi festival yang diadakan di tapak festival Muzium Layang-layang Aquiloni.

“Saya membuat demonstrasi pembuatan wau tradisional bermula dengan meraut buluh untuk membuat rangka wau bulan bersaiz empat kaki, melukis ukiran sobek bertemakan pokok ‘morning glory’, proses menebuk dan menampal ukiran pada rangka sehinggalah memasukkan hiasan rambu dan busur yang mengambil masa selama dua hari.

Setelah siap, wau tersebut diterbangkan sebagai pertunjukan kepada para pengunjung dan diserahkan kepada muzium wau Spotorno untuk pameran,” ujar beliau lagi semasa ditemubual melalui aplikasi ‘Whatsapp’ kerana masih berada di Itali.

6u6u 640x480

Selain Malaysia, beberapa negara lain yang turut serta adalah Jerman, Perancis, Austria, Turki dan tuan rumah, Itali. 

Azeimi yang juga ahli persatuan Pelayang Negeri Kelantan telah menyertai Festival Layang-layang Sedunia kali ke-23 di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang, Johor Bharu sebelum berangkat ke Spotorno, Itali.

Wau yang juga dipanggil layang-layang di negeri pantai barat Semenanjung merupakan permainan tradisional serta warisan masyarakat Melayu sejak turun-temurun. Permainan itu bermula sekitar kurun ke-15 dimainkan oleh masyarakat Melayu sama ada rakyat biasa mahupun golongan istana untuk memenuhi masa lapang.

Sejak berkurun lagi permainan wau sangat rapat dengan masyarakat Kelantan. Wau ini juga telah diangkat untuk dijadikan sebagai salah satu tradisi negeri Kelantan. Antara wau yang terkenal ialah Wau Bulan, Wau Kekek, Wau Puyuh, Wau Kebayak dan Jala Budi.

Kini, wau dianggap simbol kehalusan seni budaya yang menjadi identiti rakyat negara ini meskipun terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan. 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Muhd Azeimi Mohd Noor

  • Created on .
  • Hits: 1564

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024