JADIKAN TERJEMAHAN SEBAGAI BIDANG PENGAJIAN PERINGKAT SISWAZAH, KATA AWANG SARIYAN
PULAU PINANG, 11 Mac 2018 – Bidang terjemahan wajar diletakkan sebagai bidang pengajian peringkat siswazah mahupun pascasiswazah berdasarkan permintaan yang amat tinggi di samping mampu memupuk persefahaman dan kerjasama antara tamadun dan negara.
Itu tegas Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di Beijing Foreign Studies University, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan yang mengharapkan bidang terjemahan diberikan keutamaan dalam aspek pendidikan negara.
Menurut beliau, bidang terjemahan wajar diletakkaan sebagai salah satu bidang pengajian ijazah di peringkat siswazah dan pascasiswazah di semua institusi pendidikan tinggi agar dapat direncanakan penyelidikan yang membantu perkembangan bidang terjemahan dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Saya menyeru agar Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dapat menjadikan Terjemahan sebagai salah satu komponen kursus wajib Institusi Pendidikan Tinggi untuk semua Pusat Pengajian khususnya paduan dalam kursus Penulisan dan Terjemahan, kerana ia mampu sebagai salah satu penyediaan kemahiran penting bagi semua pelajar,” katanya ketika menyampaikan Siri Syarahan Tokoh Negara 2018 bertajuk Sumbangan Bidang Terjemahan dalam Pemupukan Kerjasama Ketamadunan Supranasional (Tumpuan Khusus Hubungan Tamadun Melayu-China) di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM).
Tambah Awang Sariyan, komponen terjemahan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) juga perlu diwujudkan semula agar calon mahasiswa atau lepasan sekolah menengah tinggi memiliki kemahiran asas terjemahan untuk keperluan kerjaya dan kehidupan.
Turut hadir adalah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Profesor Dr. Narimah Samat; Penyelaras Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong dan Pegawai-Pegawai Utama Universiti.
Selain itu, beliau berpendapat karya terjemahan perlu diberi pengiktirafan dalam insentif akademik di institusi pendidikan tinggi selain penulisan dalam jurnal, seperti insentif untuk kenaikan pangkat kepada Profesor dan Profesor Madya.
“Pemegang diploma terjemahan daripada institusi dan pertubuhan profesional dalam bidang terjemahan (seperti yang dianjurkan oleh Persatuan Penterjemah Malaysia dan DBP sejak lebih 30 tahun lalu) perlu diberi insentif seperti elaun khas oleh majikan, atas kebolehan dan kemahiran tambahan yang dimiliki,” katanya lagi.
Sebagai penutup, beliau menegaskan bahawa sejarah pembangunan tamadun sejak dahulu telah menunjukkan bahawa kegiatan terjemahan menjadi salah satu wasilah penting bagi sesuatu bangsa dan negara termasuklah keperluan karya ilmu dan kreatif.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1419