USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC USM SERU PARA AKADEMIA REBUT PELUANG MENJADI YANG TERAWAL DALAM PROJEK KPT

DSC 1836 800x600

NIBONG TEBAL, 12 Mac 2018 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menyeru para akademia mengambil peluang yang disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya dalam permohonan geran-geran di peringkat antarabangsa bagi penyelidikan atau kajian yang dijalankan. 

Asma dalam lawatannya ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia di Kampus Kejuruteraan USM di sini baru-baru ini berkata, sebagai sebuah universiti penyelidikan, para pensyarah perlulah merebut peluang menjadi yang pertama atau terawal menjalankan penyelidikan dan projek yang mampu memberi impak tinggi kepada negara. 

DSC 1864 800x600

“Sebagai sebuah Pusat Pengajian yang berada di antara tangga teratas pencapaian di USM ini, pensyarah dalam bidang kejuruteraan kimia khususnya perlulah menjadi contoh kepada PTJ lain dalam merebut peluang menjalankan penyelidikan berimpak tinggi contohnya projek 3D printer,” tambahnya lagi. 

Jelasnya lagi, hubungan berterusan di antara pusat pengajian dan para graduan atau alumni yang telah mencapai kejayaan di dalam bidang yang diceburi masing-masing perlu dimantapkan supaya PTJ memperoleh manfaat bersama. 

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia,Profesor Dr. Azlina Harun turut mengadakan pembentangan berkaitan latar belakang, strategi, hala tuju dan output pusat pengajian, yang turut dihadiri oleh seluruh warga Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

DSC 1870 800x600

Antara enam Pusat Pengajian Kejuruteraan USM, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia adalah yang kedua paling muda, ditubuhkan pada tahun 1992.

Dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2018 yang diumumkan baru-baru ini, Kejuruteraan Kimia ialah antara 11 subjek yang berada dalam kelompok 100 teratas dunia bagi USM.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

 

  • Created on .
  • Hits: 1182

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024