USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KPTN ZON KELANTAN TERUS DISERBU

ghuyjy 800x600

USM KUBANG KERIAN, 11 Mac 2018 – Kaunter-kaunter pameran terus diserbu pengunjung pada hari kedua Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) Zon Kelantan yang berlangsung di Stadium Mini, Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Rata-rata pempamer yang menyertai karnival menyifatkan KPTN Zon Kelantan adalah yang paling meriah dan sentiasa dipenuhi oleh para pengunjung terutama calon-calon yang berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma dan ijazah pertama di universiti awam dan swasta mahupun yang ingin mengikuti kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan oleh organisasi-organisasi terlibat. 

Presiden Kolej iCOOP yang dimiliki oleh Maktab Koperasi Malaysia, Profesor Bahrulmazi Edrak ketika ditemui berkata, penganjuran KPTN banyak membantu memperkenalkan IPTS yang turut menawarkan program akademik dan kemahiran. 

Manakala Pegawai Jabatan Perhubungan Korporat, Kolej Universiti Islam Pahang (KUIPSAS) menyifatkan KPTN Zon Kelantan adalah yang terbaik setakat ini. 

u7try

"Saya berterima kasih kepada USM kerana menyediakan kemudahan serta prasarana yang baik sepanjang KPTN ini dan tidak menyangka akan menerima kunjungan daripada orang ramai sebegini rupa sehinggakan ada masanya booth pameran kami dipenuhi oleh pelajar serta ibu bapa dan guru-guru bagi mendapatkan penjelasan lanjut kursus-kursus yang ditawarkan.

Selain jumlah pengunjung yang besar, saya juga tertarik dengan aktiviti-aktiviti sampingan yang dihidangkan oleh USM seperti pemeriksaan kesihatan dan juga cabutan bertuah," ujar beliau lagi.

Pada hari ini sesi temubual slot 'Icon Talk' turut menjemput atlet memanah negara yang tidak asing lagi iaitu Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang merupakan pelajar ijazah sarjana di USM untuk berkongsi pengalaman beliau dengan pengunjung yang hadir.

Teks & Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 1094

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024