USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KPTN ZON KELANTAN CIPTA SEJARAH TERSENDIRI

thyrhh 800x600

USM KUBANG KERIAN, 10 Mac 2018 - Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah tersendiri apabila menerima lebih 29,000 pengunjung pada hari pertama Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) Zon Kelantan yang dilangsungkan di Mini Stadium, Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan di sini. 

Dalam ucapan alu-aluannya sempena majlis perasmian KPTN 2018, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, beliau sangat teruja melihat pengunjung bukan sahaja memenuhi khemah pameran utama malah turut mengunjungi khemah-khemah pameran pendidikan kesihatan serta gerai-gerai jualan dan keusahawanan pelajar. 

"Saya amat berbesar hati apabila sekali lagi USM diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai tuan rumah KPTN dan pada pagi ini sahaja selepas satu jam dibuka lebih 4,000 pengunjung telah hadir.

Saya sangat bangga dengan komitmen dan kesungguhan jawatankuasa dalam menjayakan karnival ini melalui pelbagai cara mempromosikan KPTN sehingga mengadakan program 'Kayuhan Promosi' dengan kerjasama Persatuan Basikal Lasak Kampus Kesihatan,” ujar beliau lagi. 

67u


KPTN memberi peluang USM membuka pintu kepada masyarakat untuk merasai suasana kampus dan apa yang lebih penting, mereka boleh mendapatkan maklumat berkaitan peluang-peluang pengajian dan pembiayaan daripada pelbagai institusi pengajian serta organisasi berkaitan yang turut serta di dalam karnival tersebut.

Dengan tagline 'Maghi Blako Masuk IPT', KPTN Zon Kelantan kali ini melibatkan 100 buah booth pameran pendidikan terdiri daripada Universiti Awam (UA) sebanyak 19 booth, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) 37 booth serta agensi-agensi awam yang lain seperti MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk penyertaan menyeluruh dari ketiga-tiga kampus USM iaitu Kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan. 

KPTN yang berlangsung selama dua hari pada 10 dan 11 Mac 2018 telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan turut dihadiri oleh wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi serta jabatan-jabatan berkaitan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 1039

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024