SALURAN INFORMASI PENDIDIKAN TINGGI: KPTN ZON KELANTAN BANTU BAKAL MAHASISWA
USM KUBANG KERIAN, 10 Mac 2018 – Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2018 Zon Kelantan yang diadakan di Stadium Mini, Kompleks Sukan 2, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila pengunjung mula memenuhi khemah pameran seawal jam 9 pagi.
Bercakap semasa merasmikan KPTN 2018, Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, KPTN pada tahun ini menjelajah ke 16 lokasi seluruh Malaysia.
"Bagi memastikan maklumat berkenaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi dapat disebarkan dengan menyeluruh, KPT turun padang ke setiap lokasi KPTN yang bermula sejak 4 Februari lalu dan akan berakhir pada April nanti.
"Selaras dengan peluasan akses pendidikan tinggi, Redesigning Higher Education dan Industrial Revolution 4.0 serta transformasi sistem penyampaian perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) akan melaksanakan pelbagai inisiatif baharu pada tahun ini yang dipanggil SMART UPU yang merangkumi UPUPocket, UPUTag, Digital Ads, Tanpa GST, 2u2i, Laluan Kerjaya, Laluan Khas B40, QR Code Panduan, UPU Bot 4.0, UPU Analyzer, UPU Pit Stop dan Hanya Wajib Isi 5 Pilihan", tambah beliau lagi.
Selain daripada untuk mempromosi dan menyebarkan maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baharu ditawarkan, pelaksanaan KPTN ini juga adalah untuk mendidik dan memupuk kesedaran dalam kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai permohonan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) melalui aplikasi dalam talian yang telah dibuka sejak 5 Februari dan akan ditutup pada 10 April 2018 bagi kemasukan Sidang Akademik 2018/2019.
Majlis perasmian KPTN 2018 Zon Kelantan yang turut dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail serta wakil-wakil universiti dan jabatan terlibat dimeriahkan dengan persembahan dikir barat dan sketsa karoot komedia oleh pelajar-pelajar USM.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
- Created on .
- Hits: 1040