USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAM KEBUDAYAAN INDIA USMKK PLATFORM TERBAIK SEBAR LUAS MAKLUMAT SILANG BUDAYA

uhjhy

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mac 2018 – Malam Kebudayaan India (MKI) 2018, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan (USMKK) menjadi platform terbaik kepada warga universiti mahupun masyarakat luar untuk mengenal dengan lebih dekat akan aspek-aspek kebudayan India yang mempunyai keunikan tersendiri sesuai dengan Gagasan 1Malaysia.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, MKI merupakan saluran yang tepat untuk memberikan pendedahan serta menyebarluas maklumat silang budaya antara pelbagai etnik dalam kalangan pelajar untuk merapatkan jurang antara kaum tanpa mengira agama dan bangsa.

“Saya yakin, keunikan tarian dan kekayaan budaya India akan menarik perhatian kita semua pada malam ini dengan cahaya lampu yang mempesona dan hiasan dewan yang cantik membuktikan bahawa pelajar-pelajar Kampus Kesihatan bukan hanya ulat buku tetapi berjaya menonjolkan bakat tersembunyi dalam kemahiran tarian budaya mereka.

thty

“Selain cemerlang dalam akademik, mereka juga membuktikan kemampuan mereka seiring dengan nama USM sebagai universiti APEX dalam melahirkan graduan yang unggul dan seimbang antara sains dan seni,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Asma berkata, USM bukan sahaja menitikberatkan aspek pelajaran berdasarkan kursus yang diambil, tetapi turut mencungkil potensi individu holistik dari segi pengetahuan dan bakat.

“MKI diharap dapat mewujudkan kesedaran tentang kepentingan menghormati dan memahami kepelbagaian budaya di Malaysia sekaligus memperkukuhkan keharmonian antara kaum yang menjadi tunjang kepada kemakmuran dan pembangunan negara.

“Selain itu, persembahan kebudayaan seperti ini memberi peluang kepada kita untuk berkumpul di bawah bumbung yang sama sebagai warga USM yang bersatu padu dan cintakan universiti,” jelasnya lagi.

MKI USMKK pada tahun ni bertemakan "Samudra" mendapat sambutan kira-kira 1,500 penonton yang membanjiri Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM bagi menyaksikan persembahan lakonan yang menceritakan sejarah masyarakat India purba, persembahan tarian kampung (Indian Folk Dance), tarian klasik dan moden India, tarian Baratham, tarian Bhangra dan banyak lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah suami Naib Canselor yang juga mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; dekan-dekan dan timbalan-timbalan dekan, Penasihat Budaya Masyarakat India USMKK, Profesor Madya Dr. T.P Kannan dan Dr. Regunath Kandasamy; Pengarah Projek MKI 2018, Ruba Shree Ruba Sundaram serta pegawai-pegawai utama Universiti.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 1349

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024