USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAPAT PENGIKTIRAFAN KERAJAAN UNTUK PENINGKATAN MUTU PRODUK UBAT TRADISIONAL TEMPATAN

PULAU PINANG, Mac 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menjadi universiti terunggul tempatan di dalam kegiatan peningkatan mutu produk ubat tradisional melalui pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Pusat Racun Negara (PRN) sebagai makmal yang diiktiraf untuk keselamatan produk ubat tradisional yang memasuki pasaran tempatan. 

Pengarah PRN, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Isa Abd. Majid berkata, pengiktirafan sebagai Makmal Swasta oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM bagi Perkhidmatan Analisis Produk Tradisional membolehkan syarikat farmaseutikal industri kecil dan sederhana (IKS) menggunakan khidmat analisis yang ditawarkan oleh Pusat Racun Negara untuk mengesahkan produk-produk ubat tradisional bebas dari campuran palsu yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna-pengguna tempatan.

“Pengiktirafan dari NPRA membolehkan produk ubat tradisional diuji oleh PRN sebagai bebas dari bahan sampingan seperti sibutramine, satu pencemar yang disalahgunakan sebagai pelangsing badan untuk tempoh tiga tahun bermula dari Januari 2018 sehingga Januari 2021,” katanya.  

Tambahnya lagi, anugerah yang julung-julung kali diberikan kepada satu-satunya makmal analisis dari kalangan universiti awam dan swasta juga membuktikan bahawa perkhidmatan analisis yang diberikan oleh Makmal Toksikologi PRN sentiasa berada pada tahap kualiti yang tertinggi. 

“Dengan adanya pengiktirafan daripada pihak NPRA KKM, ianya membolehkan pengilang-pengilang produk tradisional mendapatkan perkhidmatan analisis produk tradisional bagi tujuan pendaftaran produk di NPRA KKM yang terjamin keputusan analisisnya.” 

Selain daripada pengiktirafan NPRA KKM, Makmal Toksikologi PRN juga adalah sebuah makmal yang mempunyai status akreditasi MS ISO/IEC 17025:2005 di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) yang diterima pada 28 Julai 2011.

Status akreditasi adalah satu pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa untuk sesebuah makmal luar negara.

Teks: Pusat Racun Negara

  • Created on .
  • Hits: 1122

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024