USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA DAN JALINAN KOMUNITI/INDUSTRI DIHARGAI

PULAU PINANG, 8 Mac 2018 – Seramai 386 orang warga staf dan bukan staf diraikan dan dihargai dalam majlis penyampaian Sijil Kecemerlangan dan Sijil Penghargaan Libatsama Komuniti dan Industri anjuran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM).

Mereka ini adalah warga dan bukan warga yang melibatkan diri secara aktif dan sukarela dalam aktiviti, program serta projek libatsama komuniti/industri yang dilaksana di luar daripada tugasan hakiki tanpa menerima sebarang bayaran atau elaun. 

“Inisiatif sebegini merupakan tanggungjawab sosial universiti (University Social Responsibility-USR) terhadap komuniti, lebih-lebih lagi USM, sebuah IPTA yang berpremis atas dasar sebagai agen pembangunan negara,” ucap Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika merasmikan program berkenaan.

“Hasrat ini selaras dengan lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) untuk mentransformasikan komuniti ke arah pembangunan yang mampan dan lestari berasaskan penerapan sumber institusi untuk menangani dan menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat melalui kerjasama dengan komuniti,” tambahnya lagi. 

“USM adalah selari dengan PPPM (PT) dalam memberikan fokus terhadap menghasilkan outcome berimpak tinggi yang akhirnya memberikan manfaat kepada ‘quadruple helix’ iaitu kerajaan, akademia, industri dan masyarakat. 

“Penyelidikan Translational mementingkan kolaborasi dan kerjasama dengan masyarakat dalam perkongsian idea, pengetahuan, mekanisme dan teknik/kaedah baru yang dihasilkan Universiti demi memperkasakan komuniti sekaligus menangani secara efektif masalah yang dihadapi oleh komuniti,” tambah Naib Canselor.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, tema ‘Memperkasakan Komuniti, Mentranformasi Kehidupan - Gaya USM’ telah dipilih bagi tahun 2017 bagi mempamerkan usaha USM yang amat serius dalam membantu komuniti membawa mereka keluar dari kepompong kedaifan. 

“Ia juga menunjukkan komitmen berterusan USM terhadap usaha-usaha membawa perubahan nyata kepada komuniti dan memberi impetus yang lebih bagi membawa libatsama komuniti ke satu tahap yang boleh dibanggakan,” tambahnya.

Sejumlah 386 orang telah diraikan merangkumi 363 orang menerima Sijil Penghargaan melalui 4 kategori iaitu Akademik, Pentadbiran, Pelajar dan Pihak Luar USM manakala 19 orang adalah penerima Sijil Kecemerlangan. 

Bagi tahun 2017, buat pertama kalinya BJIM mewujudkan kategori baharu iaitu kategori Projek Berimpak Tinggi yang memenuhi aspirasi USM dan Strategi Lautan Biru iaitu projek yang dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dengan kos yang rendah serta lestari. 

Empat projek yang menerima penghargaan tersebut ialah tiga orang pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Profesor Madya Dr. Leh Cheu Peng bagi Projek Kesedaran 2017 – Karnival Sains Kertas; Dr. Arniza Ghazali, Dialogic Communication As Inspiration For The Learning Journey Of Special Students And The Cyber Community dan Dr. Widad Fadhullah untuk Projek Pembuatan Ekoenzim dan Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai dan seorang lagi Dr. Zakira Mamat daripada Pusat Pengajian Sains Kesihatan bagi Program Latihan Jagaan Kesihatan di Rumah.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1467

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024