USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JOM MASUK IPT: KPTN 2018 ZON KELANTAN KEMBALI LAGI

28575731 1700070973387262 8453627943937616388 n

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Mac 2018 – Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2018 buat kali yang ke-14  kembali lagi dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan akan menjadi tuan rumah bagi Zon Kelantan pada 10 dan 11 Mac ini di Mini Stadium, Kompleks Sukan 2.

Pengarah Kampus Kesihatan USM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KPTN 2018 Zon Kelantan, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, KPTN diadakan bertujuan untuk memfokuskan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Diploma untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas sebelum membuat pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

“Pelaksanaan KPTN adalah untuk mempromosi dan menyebarluas maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baharu yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Bahagian Matrikulasi (BMKPM), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan institusi-institusi lain bagi Sesi Akademik 2018/2019.

“Pelaksanaan KPTN ini juga adalah untuk mendidik dan memupuk kesedaran dalam kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai permohonan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) melalui aplikasi dalam talian,” ujarnya. 

Tambah Sukari, selain itu, KPTN juga merupakan platform untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar pemilihan kemasukan ke UA yang mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

“Dengan adanya KPTN ini, ia diharap dapat memotivasi dan mendidik para pemohon dalam menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara serta agensi lain yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.

“Antara aktiviti lain yang akan berlangsung sepanjang KPTN ini ialah keusahawanan pelajar, pemeriksaan kesihatan, khidmat runding cara, cabutan bertuah, kempen derma darah, dan seminar kemasukan pelajar,” jelasnya lagi.

Sukari turut memaklumkan bahawa permohonan kemasukan ke USM adalah secara berpusat melalui sistem UPU Online dan sebanyak 71 program ijazah pertama ditawarkan bagi Sidang Akademik 2018/2019 dalam pelbagai bidang pengajian.

KPTN 2018 Zon Kelantan yang bertemakan “Maghi Belako Masuk IPT” bakal dimeriahkan dengan kehadiran beberapa Ikon Malaysia seperti Fatin Nurfatehah Mat Salleh (Atlet Memanah Negara), Sarah Chak (DJ Hot FM), Kumpulan USM Busking dan Adikarma serta ramai lagi.

KPTN 2018 Zon Kelantan ini adalah salah satu daripada 16 siri jelajah KPTN yang telah dirancang oleh KPT di seluruh Malaysia pada tahun ini bermula pada 27-28 Januari yang lalu sehingga bulan April yang akan datang.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Wan Nur Fashehah Wan Abd Rahman (Pelajar Praktikal USM)

  • Created on .
  • Hits: 1410

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024