USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SARINGAN PENDENGARAN AWAL KANAK-KANAK MAMPU ELAK RISIKO MASALAH PENDENGARAN

USM KUBANG KERIAN, 6 Mac 2018 – Masalah pendengaran sangat berkait rapat dengan komunikasi, perkembangan bahasa, sosial dan emosi serta kegagalan dalam pelajaran. 

Kanak-kanak yang kehilangan pendengaran memerlukan ujian saringan pendengaran bertujuan untuk mengenal pasti masalah dan risiko yang dihadapi.

Hasil kajian daripada pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), mendapati bahawa masalah pendengaran dalam kalangan bayi yang berisiko tinggi adalah sebanyak satu peratus yang mana berat bayi yang lahir tersebut adalah kurang daripada 1,500 gram manakala dalam kalangan pelajar sekolah sebanyak 15 peratus.

Pendengaran sangat penting kepada bayi kerana ia adalah pengalaman awal dalam proses perkembangan otak dan pembelajaran bahasa. Kajian yang dibuat di negara Jepun menunjukkan bahawa sekiranya masalah ini dikenal pasti di peringkat awal dan menerima rawatan intervensi berasaskan insentif pada usia enam bulan, kemahiran bertutur dan komunikasi menjadi lebih baik berbanding mereka yang lewat mendapatkan rawatan.

Maklumat tersebut dikongsi oleh Ketua Jabatan Otorinolaringologi, Pembedahan Kepala dan Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM,  Profesor Dr. Mohd Khairi Md Daud dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan di Dewan Utama baru-baru ini.

Menurut Mohd Khairi, jenis penyakit telinga yang utama dalam kalangan kanak-kanak sekolah, kajian menunjukkan seruman tersumbat adalah masalah yang paling biasa berlaku diikuti radang telinga tengah dengan efusi yang mana kadar kekerapan radang telinga tengah dengan efusi dalam kalangan kanak-kanak prasekolah berumur lima dan enam tahun di Malaysia adalah 13.8 peratus.

"Bagaimanapun, jika rujukan awal dilakukan, kekerapannya hanya 25.5 peratus; terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan ini, antaranya ialah kajian menunjukkan bahawa jika pemeriksaan dilakukan selepas beberapa jam kelahiran, ia boleh mengakibatkan kegagalan yang tinggi kerana penyumbatan saluran telinga oleh vernix, serpihan dan cairan amniotik yang sebenarnya akan beransur hilang selepas beberapa hari,” ujarnya.

Mohd Khairi berkata, faktor lain yang menyebabkan kadar kegagalan yang tinggi adalah tempat ujian saringan. Pihak saintis mengesyorkan pemeriksaan hendaklah dilakukan di dalam bilik yang tenang dan kalis bunyi. 

"Akan tetapi, dalam program yang kami buat, ujian penyaringan dilakukan di dalam wad bersama ibu bayi berkenaan dan hal ini boleh mengakibatkan hasil ujian positif-palsu yang membawa kepada salah faham dan kebimbangan ibu bapa.

"Selain itu, faktor-faktor lain yang menyumbang kepada ketidakhadiran ujian susulan ialah tiada komunikasi yang baik antara ibu bapa dan kakitangan pemeriksa pendengaran, protokol untuk pemeriksaan susulan adalah lemah, ibu bapa mempunyai kurang kesedaran mengenai kehilangan pendengaran dan keperluan merawatnya dengan segera serta ibu bapa menghadapi masalah pengangkutan untuk ke hospital," jelasnya lagi.

Mohd Khairi turut menyarankan agar ibu bapa membuat ujian saringan pendengaran terhadap anak-anak mereka dengan segera demi masa depan kanak-kanak tersebut.

Profesor Dr. Mohd Khairi merupakan graduan USM dan memulakan perkhidmatan beliau di USM pada tahun 1998. Selain memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan, beliau juga merupakan Ketua Jawatan Kuasa Teknikal Ijazah Lanjutan Kepakaran Otorinolaringologi – Pembedahan Kepala dan Leher Kebangsaan sejak tahun 2016.

Teks: Nur Syazwani Darzi (Pelajar Praktikal UIAM)/Foto:  Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1041

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024