USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IMPAK DAN PENGURUSAN KECEDERAAN AKIBAT KEMALANGAN JALAN RAYA DI MALAYSIA: BERSEDIAKAH KITA?

USM KUBANG KERIAN, 5 Mac 2018 – Di seluruh dunia, kecederaan yang diakibatkan oleh kemalangan jalan raya adalah faktor lazim bagi kemasukan ke hospital, khususnya di negara-negara membangun. Ia menjadi penyakit yang membawa penyeksaan berpanjangan dan menyumbang kepada penyebab serta faktor utama kehilangan nyawa, penderitaan jangka panjang, kecacatan serta kesan psikologi kepada kedua-dua mangsa dan penjaga.

Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset Hospital Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kecederaan akibat kemalangan jalan raya berada di tempat kesembilan antara penyebab utama ketakupayaan atau kecacatan – pelarasan jangka hayat sihat di seluruh dunia dan ia dijangka akan terus meningkat serta menjadi penyebab utama menjelang 2020.

“Di Malaysia, sepanjang tempoh lima tahun yang lalu, kecederaan yang diakibatkan oleh kemalangan jalan raya menjadi penyebab lazim keempat faktor kematian dan kemasukan ke hospital.

“Berasaskan fakta bahawa dunia dibebani dengan penyakit dalam kalangan 100,000 orang penduduk, Malaysia berada di tangga ke-20 dunia daripada pengembangan kecederaan yang diakibatkan oleh kemalangan jalan raya iaitu bersamaan 34.5 orang cedera bagi setiap 100,000 penduduk,” jelasnya semasa menyampaikan syarahan pada Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM.

Nik Hisamuddin yang juga Pensyarah dan Pakar Perubatan Klinikal berkata, ia merupakan masalah yang semakin meningkat dan menjadi punca utama morbiditi dan kematian dalam kumpulan umur penduduk di bawah 40 tahun.

“Kumpulan profesional yang terlibat dalam penjagaan rawatan kecederaan akibat kemalangan jalan raya telah menggariskan satu pelan yang bertujuan mengurangkan kematian dan kecacatan atau ketakupayaan akibat daripada penyakit berpunca daripada kemalangan jalan raya.

“Bagi memuktamadkan usaha yang telah dimulakan sejak bertahun-tahun lalu, pengurusan penjagaan rawatan kecederaan yang diakibatkan oleh kemalangan jalan raya ini bukan hanya akan memberi kebaikan kepada ribuan rakyat Malaysia, malah ia akan menambah keunggulan kepada persediaan serta kesiapsiagaan negara kita untuk menangani krisis malapetaka kemalangan pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

Tambah Nik Hisamuddin, isu pengurusan penjagaan rawatan kecederaan akibat kemalangan jalan raya ini memerlukan tindakan segera dan drastik kerana masa adalah penentu antara hidup dan mati.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1087

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024