USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PAMER PENINGKATAN DALAM QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS BY SUBJECT AREAS

28575816 1697492233645136 5494051751330042946 n

PULAU PINANG, 1 Mac 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam kesemua lima kelompok bidang utama QS World University Rankings by Subject Areas 2018 yang diumumkan di sini baru-baru ini. Tiga kelompok bidang utama USM berada pada senarai 100 terbaik dunia berbanding cuma satu pada tahun 2017.

Tiga kelompok bidang utama berkenaan adalah Kejuruteraan & Teknologi, yang menyaksikan USM melonjak ke tangga #60 pada tahun ini berbanding #93 pada tahun 2017, manakala Sains Sosial & Pengurusan pula meningkat kepada #63 berbanding #106. Kelompok Seni & Ilmu Kemanusiaan pula berjaya naik ke kedudukan #91 berbanding #144 pada tahun 2017.

Dua lagi kelompok subjek USM yang tersenarai dalam kedudukan senarai kesemua lima kelompok bidang utama adalah Sains Semula Jadi (#197 berbanding #232) dan Sains Hayat & Perubatan (#234 berbanding #269).

Dari segi penarafan subjek, USM juga berjaya menempatkan satu subjek iaitu Kejuruteraan Perlombongan dalam kelompok 50 teratas dunia, manakala 12 subjek dalam senarai 100 teratas dunia.

Dalam penarafan 2018, QS menganalisis lebih dari 22 juta penerbitan dan hampir 200 juta sitasi. Sejumlah 1,130 institusi diberikan penarafan berdasarkan 48 subjek dalam kelompok lima bidang utama, yang mana menghasilkan 14,000 entri. Angka ini menunjukkan betapa luas skop yang diberikan penumpuan dalam eksesais penarafan berkenaan.

Keupayaan dan kemampuan USM menempatkan kedudukan dalam kelompok lima bidang utama tersebut mencerminkan Universiti ini sangat kompetitif dan berada di tahap yang sama dengan institusi pendidikan tinggi ternama dunia.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, peningkatan secara keseluruhan itu turut menjadi testimoni pengiktirafan global bagi program-program akademik dan penyelidikan yang ditawarkan oleh Universiti ini.

“Ia turut menzahirkan USM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang komprehensif dan berbilang disiplin, dan tidak hanya tertumpu dalam satu-satu bidang sahaja, selain berupaya menawarkan pendidikan seimbang di antara Sains dan Sastera.

"Kami sentiasa berusaha untuk menerajui dalam pelbagai bidang serta merekayasa USM sebagai sebuah Universiti Pilihan. Walau bagaimanapun, pendidikan menjadi lebih kompetitif pada masa kini disebabkan oleh bilangan institusi yang pelbagai,” ujarnya.

Beliau juga berkata, pendidikan juga menjadi lebih kompetitif kerana kini terdapat pelbagai platform yang digunakan untuk menyediakan pendidikan di peringkat global.

“Walaupun sedikit tersasar dari kedudukan sebelumnya dalam subjek tertentu, saya percaya berada dalam kedudukan 10 universiti terbaik di Malaysia membuktikan usaha USM dalam menyediakan sistem pendidikan di negara ini adalah yang terbaik.

"Universiti berhasrat untuk meneruskan usaha ke arah kecemerlangan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi memastikan komuniti disediakan dengan pendidikan yang lebih kompetitif pada masa hadapan. Universiti ini juga akan terus berusaha dalam meningkatkan bidang penyelidikan dan libatsama komuniti untuk memimpin masyarakat ke arah masa depan yang lebih lestari," tambahnya.

Secara keseluruhan, kriteria penarafan pada tahun ini memperlihatkan QS World University Rankings By Subject mempertingkatkan jumlah subjek yang diberikan penarafan iaitu 48 subjek berbanding 46 pada tahun sebelumnya.

  • Created on .
  • Hits: 1298

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024