USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA KAMPUS KESIHATAN MENYAMBUT BAIK TIGA INISIATIF BAHARU SEMPENA PTNC 2018

hjmjm 800x600

KUBANG KERIAN, 25 Februari 2018 – Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail hari ini berkongsi input berkaitan hala tuju dan perancangan Universiti dalam meneruskan kecemerlangan prestasi bagi tahun 2018 melalui Perutusan Tahunan Naib Canselor (PTNC) 2018 yang bertajuk Merekayasa USM sebagai sebuah Universiti Pilihan (Making USM A Preferred University By Design) di Kampus Kesihatan USM di sini.

Perkongsian tersebut antara lain membincangkan dengan terperinci berkenaan perancangan dan strategi USM mencapai objektif menjadi antara Universiti terkemuka yang menjadi pilihan utama oleh setiap individu yang ingin melanjutkan pengajian di menara ilmu.

gbbg 800x600

gfbdfbdf 800x600op

Selain perkongsian strategik berkenaan hala tuju USM, majlis yang dihadiri lebih 1,500 warga Kampus Kesihatan itu turut berpeluang mendengar tiga inisiatif baharu yang telah dilancarkan semasa Perutusan Naib Canselor di Kampus Induk pada 21 Februari yang lalu dan akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2018 di kesemua kampus USM.

USM PERTAMA TAWARKAN PROGRAM MICROCREDENTIAL

Dalam era digital serba pantas, pembelajaran secara fleksibel adalah antara platform yang dapat membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dengan lebih efektif.

Mengambil kira corak pembelajaran semasa yang menuntut perubahan besar dalam suasana pengajaran dan pembelajaran disampaikan, USM menjadi yang pertama memperkenalkan ‘Microcredential for Personal & Professional Development’, satu kaedah pembangunan profesional ke arah membentuk kepakaran dalam bidang yang khusus dan tertumpu.

USM dan OpenLearning telah bekerjasama menawarkan peluang kepada mana-mana individu berkerjaya di Malaysia untuk memperolehi ‘microcredential’ (kelayakan mikro) melalui sistem pembelajaran profesional berasaskan kepakaran.

Program latihan atas talian ini direkabentuk untuk menyokong program pembangunan peribadi dan profesional secara berterusan (CPD) bagi individu berkerjaya dalam meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Program Microcredential USM ini dibangunkan dengan beberapa keistimewaan tertentu termasuk: Kandungan ringkas; Persendirian; Atas permintaan; Berasaskan kemahiran; Lencana Pengiktirafan Digital; Teknologi ‘Blockchain’ dan Mampu milik.

Antara manfaat program ini adalah modul bersesuaian yang direkabentuk khusus bagi ilmu/kemahiran tertentu, hasil kecekapan yang terbukti, pengalaman pelajar OpenLearning, lebih nilai bagi wang dan sokongan berterusan fasilitator.

USMARTPAY PLATFORM JAYAKAN USM KAMPUS TANPA TUNAI

USMartPay ialah inisiatif bersama di antara Jabatan Bendahari dan Pusat Pembangunan Perniagaan USM ke arah pelaksanaan transaksi perniagaan secara pintar, selamat dan ringkas. Kaedah pembayaran adalah secara 'e-payment', akaun ‘virtual’ dan terminal debit & kredit. Usaha terkini adalah melalui kod ‘Quick Response’ (QR) dan kad Touch & Go yang dilaksanakan secara usahasama dengan Maybank dan Touch N Go, kedua-duanya ke arah pelaksanaan suasana kampus tanpa tunai.

Pihak Touch N Go juga mula menjual kad Touch N Go edisi khas menggunakan logo 50 tahun USM bersempena sambutan ulangtahun USM ke-50.

USM PERKENAL APLIKASI #USMFIT BAGI MENGGERAKKAN KOMUNITI USM KE ARAH MENJADI SEBUAH KAMPUS AKTIF

USM juga turut memperkenalkan inisiatif baharu #USMFIT, sebuah aplikasi yang dapat membantu dalam membudayakan cara hidup sihat dalam kalangan warganya. Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk menggerakkan komuniti USM ke arah menjadi sebuah kampus aktif. Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan melalui aplikasi #USMFIT bermula 1 Mac 2018. Terkini, aplikasi ini akan merangkumi semua inisiatif berikut:

#USMFIT Weight Challenge

Inisiatif ini direkabentuk bagi menilai keberkesanan program #USMFIT ini selama tiga bulan dalam mengenalpasti pengurangan berat badan staf dan pelajar USM. Cabaran berat badan ini melibatkan penilaian berat tubuh badan dan peratusan lemak badan dalam tempoh 3 bulan. Jurulatih #USMFIT akan bersama-sama memberi tunjuk ajar tentang program mengurangkan berat badan bagi warga USM.

#USMFIT Trails

Kampus Universiti Sains Malaysia, juga dikenali sebagai Universiti dalam Taman yang kaya dengan tumbuhan tropika dan habitat rimba, menyediakan persekitaran yang amat sesuai bagi kegiatan aktiviti luar. Adanya interaksi antara manusia dan alam sekitar ini penting bagi membentuk suasana yang sihat dalam kalangan warga USM.

#USMFIT Nutritional Tips

Inisiatif ini menyediakan maklumat tentang pilihan pemakanan sihat bagi golongan bekerja dan dengan gaya hidup yang sibuk. Ia akan meliputi tips makanan sihat, bermula dari waktu sarapan pagi sehingga makan malam. Tips pemilihan makanan ringan secara sihat juga akan disertakan. Ia akan membantu pengguna untuk merekabentuk menu sihat harian yang menekankan kepada berkalori rendah, tinggi kandungan fiber dan berkhasiat, di samping lazat dan memuaskan.

#USMFIT Active Campus

Aktiviti fizikal adalah perlu bagi mengekalkan kesihatan secara lestari. Inisiatif #USMFIT ini adalah usaha menyeluruh ke arah mewujudkan sebuah kampus yang aktif dalam meningkatkan tahap kesihatan staf dan juga pelajar, mengurangkan cuti kerana sakit serta meningkatkan produktiviti. Dalam usaha bagi mewujudkan suasana kampus yang aktif, #USMFIT mengetengahkan konsep “kurangkan duduk dan bergerak aktif”. Konsep ini termasuk mengurangkan waktu duduk di tempat kerja, dengan mewujudkan ruang kerja secara berdiri-duduk.

Antara yang turut hadir ialah suami Naib Canselor yang juga mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Pengarah Kampus Kesihatan yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; mantan Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, pegawai utama universiti dan ketua-ketua jabatan serta staf dan pelajar Kampus Kesihatan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 1326

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024