USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PTPM KONGSI KEPAKARAN BIDANG GRAFIK DIGITAL BERSAMA PELAJAR OKU

OKU workshop6

USM, PULAU PINANG, 15 Februari 2018 - Sembilan pensyarah dan juga pelajar ijazah tinggi dari Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), Universiti Sains Malaysia (USM) berkongsi kepakaran dalam bidang grafik digital bersama dengan 23 orang pelajar dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sini baru-baru ini.

Program yang dinamakan Ekspresi Grafik Digital melalui Web Komuniti di Kalangan OKU ini adalah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.

Antara pengisian program ini ialah kelas bimbingan pembelajaran perisian PhotoShop serta pengenalan kepada seni grafik digital, alat asas PhotoShop dan cara untuk memanipulasikan grafik.

OKU workshop5

Menurut Pengarah PTPM, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, perkembangan bidang teknologi yang pesat pada masa kini seharusnya tidak mengabaikan sesetengah golongan termasuk OKU.

“Oleh yang demikian, program ini direka khas bagi memberikan peluang untuk golongan ini mengasah kemahiran dan bakat dalam bidang teknologi terutamanya bidang grafik digital,” kata Wan Ahmad Jaafar.

OKU workshop3

“Program yang diadakan secara percuma ini diharap dapat membantu memajukan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat serta memberikan penekanan kepada ekspresi kreativiti,” tambahnya. 

“Melalui program sebegini, para pelajar dapat menzahirkan kreativiti masing-masing serta menerapkan nilai-nilai murni dalam hasil kerja mereka.

“Pihak kami berharap penghakupayaan yang diberikan kepada mereka dapat digunakan secara holistik untuk mereka bekerja suatu hari nanti serta menjadikan bidang ini sebagai sumber rezeki,” tambah Wan Ahmad Jaafar.

OKU workshop1

Projek ini adalah salah satu projek libatsama Universiti-Komuniti dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dan Pusat Kanak-Kanak Istimewa Pulau Pinang. Projek ini mendapat sambutan yang baik oleh tenaga pengajar dan berharap projek tersebut dapat dikembangkan kepada pusat-pusat OKU yang lain.

Teks: Chau Kien Tsong & Amirah Sa'adah Azman/Suntingan: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Ayda Fatahiyah Abd Malek

  • Created on .
  • Hits: 1299

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024