USM PERKASA USAHA TINGKATKAN PENJAGAAN KESIHATAN WARGA EMAS
KEPALA BATAS, 27 Januari 2018 – Pihak kerajaan akan terus memberi perhatian yang serius terhadap usaha-usaha bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan warga emas terutamanya dari aspek penjagaan kesihatan.
Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas, YB Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican, kebajikan dan kesejahteraan warga emas perlu diambil berat dan dipikul bersama oleh setiap golongan masyarakat serta sektor kerajaan mahupun sektor swasta di negara ini.
“Warga emas juga adalah salah satu aset negara yang amat penting dan memerlukan perhatian yang lebih daripada golongan yang kuat dan sihat, lebih-lebih lagi memandangkan bilangan warga emas semakin meningkat di negara ini.
“Maka golongan warga emas perlu diberi hak, peluang dan akses yang sama dalam masyarakat, agar mereka tidak merasa tersisih dan dapat turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Libatsama Universiti-Komuniti: Memperkasakan Warga Emas di Kompleks Darul Hanan, Rumah Warga Emas Islam Pulau Pinang di sini pagi tadi, anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dengan kerjasama Kompleks Warga Emas Darul Hanan, Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pulau Pinang dan Kelab Warga Emas, Kepala Batas.
Reezal Merican turut memuji usaha murni USM untuk membantu meningkatkan tahap penjagaan pesakit dan kesihatan penghuni di Kompleks Darul Hanan, dan berharap agar IPPT dan pelbagai institusi di sekitar Kepala Batas dapat terus memberi sumbangan dan membantu komuniti sekitar.
Projek yang bermula sejak bulan November 2017 bertujuan untuk meningkatkan tahap kualiti penjagaan kesihatan penghuni di Kompleks Darul Hanan melalui pemindahan pengetahuan dan latihan oleh kakitangan terlatih dari IPPT kepada kakitangan dan penghuni kompleks Darul Hanan.
Latihan yang diberikan adalah dalam bidang pemakanan, rehabilitasi pesakit, penjagaan kesihatan oral dan penjagaan kejururawatan yang akan diteruskan untuk tempoh 6 bulan lagi.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan secara bersiri ialah penjagaan kesihatan warga emas yang melibatkan penjagaan pesakit terlantar, rehabilitasi, pemakanan seimbang, ceramah kesihatan dan kesihatan oral.
Salah seorang warga Darul Hanan, Mansoor Viyat Shah, 71, yang ditemui berkata, “Saya sangat menyambut baik program seumpama ini dan menyokong penuh usaha penganjuran aktiviti yang menjadikan warga di sini bertambah sihat. Saya banyak mendapat manfaat terutamanya melalui aktiviti senaman yang dijalankan.”
Bagi Fatimah Zain, 76, dia amat berterima kasih kepada USM atas usaha yang sangat bermakna ini. Dengan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh kakitangan USM, dia dan warga lain di sini dapat mengetahui status kesihatan masing-masing.
Dalam majlis perasmian, IPPT turut menyampaikan sumbangan peralatan sokongan perubatan kepada Kompleks Darul Hanan bagi kegunaan warga emas di sini sebagai latihan fisioterapi.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pemangku Naib Canselor USM yang juga Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengerusi Darul Hanan, Rumah Warga Emas Islam Pulau Pinang, YB Dato' Hajah Jahara Hamid; Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar; Ketua Program, Dr. Mastura Mohd Sopian dan ahli-ahli Jawatankuasa Darul Hanan.
Teks: Faisal Jamaludin/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1523