HATI BUDDY MOBILE APP DAN BM B.E.S.T. MENANG EMAS
PULAU PINANG, 2 Februari 2018 - Dua aplikasi yang dibangunkan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Hati Buddy Mobile App (Hati Buddy) dan BM B.E.S.T. memenangi pingat emas di Pertandingan Inovasi P&P 2018 sempena K-Novasi P&P 2018 yang berlangsung baru-baru ini.
Hati Buddy adalah ciptaan pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM Dr. Jamalsafri Saibon yang mana ianya adalah sejenis permainan dalam bentuk mobile application dan CD-I untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran murid tentang tingkah laku buli di sekolah.
“Mengaplikasikan pendekatan pedagogi 'Creative and fun', permainan ini bersesuaian dengan kumpulan sasar iaitu remaja sekolah.
“Permainan ini adalah sebagai memenuhi keperluan pelajar memandangkan tiada topik pengajaran berkaitan dengan tingkah laku buli diajar di sekolah,” kata Jamalsafri.
Menurut pensyarah PPIP Dr. Fadzilah Amzah, BM B.E.S.T merujuk kepada pengajaran Bahasa Melayu yang Bestari (B), Eklektik (E), Sistematik (S) dan Tekal (T).
“BM B.E.S.T adalah satu alternatif pengajaran untuk mata pelajaran Bahasa Melayu di dalam bilik darjah yang bersifat holistik dan eklektik.
“Kaedah BM B.E.S.T ini diperkenalkan bagi membudayakan amalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan pelajar yang menekankan kepada elemen 4 K + 1 N iaitu Kreatif, Kritikal, Kolaboratif, Komunikasi, dan Nilai,” tambah Fadzilah yang pertama kali menyertai pertandingan seumpama ini bersama Dr. Muhammad Zuhair Zainal selaku penyelidik bersama.
Pada pertandingan yang sama, Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden yang juga pensyarah PPIP beserta Dr. Siti Mastura Baharudin selaku penyelidik bersama memenangi pingat perak melalui produk Zero To Hero yang membolehkan pelajar menghasilkan ePortfolio masing-masing melalui Mahara@USM dan satu interactive eBook yang merangkumi hasil kerja pelajar yang boleh dijadikan rujukan komprehensif.
Penyertaan ke pertandingan ini adalah di bawah kelolaan dan tajaan USM melalui Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik dan Pembangunan Pelajar (CDAE). Selain itu turut diadakan bengkel 'Creating an Online Persona Lead Magnet for Academic Branding' yang disampaikan oleh Pengarah CDAE, Profesor Dr. Abd. Karim Alias.
Beliau juga turut berkongsi ilmu dalam sesi Bicara 4.0 yang bertajuk 'Outsmarting the smartest machine?’ yang mengetengahkan isu-isu utama berkaitan dengan Pengajaran & Pembelajaran daripada perspektif yang berbeza terutamanya dalam konteks menyahut cabaran industri 4.0.
K-Novasi P&P 2017 yang dianjurkan bagi kali yang ke-3 adalah anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan buat julung kalinya ianya dibuka untuk penyertaan kepada institusi luar.
Ianya adalah untuk memenuhi permintaan daripada warga akademik institusi luar serta bagi mengenal pasti produk dan inovasi P&P yang boleh diketengahkan di peringkat kebangsaan melalui Pertandingan Inovasi P&P. Tema penganjuran pertandingan pada tahun ini adalah Pendidikan 4.0 : Graduan Kalis Masa Hadapan.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Sumbangan CDAE
- Created on .
- Hits: 1595