PASUKAN BADMINTON STAF USM HARUMKAN NAMA UNIVERSITI
PULAU PINANG, 20 Januari 2018 – Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, pasukan badminton staf Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila berjaya mengungguli Temasya Sukan PEMENANG (Persatuan Melayu Pulau Pinang) 2017 dan Kejohanan Badminton Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) peringkat Negeri Pulau Pinang 2018.
Dalam Temasya Sukan PEMENANG 2017 yang berlangsung pada 18 November 2017 di Pusat Sukan dan Rekreasi USM, universiti telah menghantar seramai empat wakil ke temasya sukan tersebut, dan pasukan USM berjaya merangkul pingat emas dan pingat gangsa.
Dalam Kejohanan Badminton MAKSAK peringkat Negeri Pulau Pinang 2018 yang berlangsung pada 13-14 Januari 2018 di Dewan Badminton, Kompleks Belia & Sukan Negeri, Batu Uban pula, pasukan badminton USM memenangi empat pingat.
Kejayaan ini lebih manis lagi dengan USM merangkul pingat emas dalam kedua-dua kategori beregu lelaki dan beregu wanita, dan juga pingat gangsa dalam kedua-dua kategori tersebut.
Pasukan USM diwakili oleh Dr. Mohd Ismail Isa, Dr. Sapinah Abdullah, Mohd Taufik Ibrahim, Mustaffa Kamal Esa, Lee Chiao Mei dan Rohartina Razali.
Menurut Konvenor Kelab Badminton Staf USM, Profesor Madya Dr. Baharudin Ibrahim dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, beliau amat berbangga dengan pencapaian pemain-pemain yang beraksi dan ini adalah kali pertama mereka telah menghantar kontinjen yang besar ke kejohanan tersebut dan mendapat kemenangan yang besar.
“Kesemua mereka telah mempamerkan kecemerlangan dan semangat jitu yang tinggi ketika beraksi menentang pasukan lawan, dan saya berharap kemenangan ini akan menyemarakkan lagi semangat pasukan USM untuk terus mencapai kejayaan yang lebih besar lagi di peringkat MAKSAK kebangsaan dan SUKUM 2018,” katanya.
Teks asal: Dr Baharudin Ibrahim/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1575