PROGRAM SME@USM MAMPU TINGKATKAN PRESTASI USAHAWAN PKS
USM, PULAU PINANG, 19 Januari 2018 – Usahawan masa depan perlu memiliki ilmu (knowledge), passion, sikap (attitude) yang betul, dan bijak untuk mengambil peluang membina jaringan (networking), kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
“Saya berharap program-program keusahawanan seperti Program SME@USM ini dapat membantu melengkapi para usahawan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mereka menaik taraf prestasi perniagaan yang diusahakan.
“Apabila usahawan-usahawan yang tidak mempunyai pendidikan khusus ini dibawa ke universiti dan diberi pendedahan tentang bagaimana meningkatkan produktiviti, pemasaran, jualan dan pengurusan, ternyata ia mampu membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan mereka,” kata Asma dalam ucapan perasmian sempena Majlis Graduasi SME@USM 2017 di sini baru-baru ini.
Majlis Graduasi SME@USM 2017 diadakan bagi meraikan seramai 19 orang usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari seluruh Wilayah Utara yang berjaya menamatkan kursus jangka pendek selama tiga bulan (11 Ogos – 3 November 2017) di USM yang dianjurkan secara bersama oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), Pusat Keusahawanan Universiti (EpiC) di bawah Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).
Kata Asma lagi, para peserta program juga perlu didedahkan dengan modul berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0, supaya mereka lebih bersedia untuk menempuh cabaran-cabaran abad ke-21 kesan daripada teknologi yang mengganggu (disruptive technology) dan ekonomi digital.
“Jika kita tidak ambil serius untuk memahami dan mengaplikasikannya, maka kita akan ketinggalan dan Model Perniagaan (Business Model) kita akan menjadi tidak lagi relevan.
“Saya percaya dengan perlaksanaan program seperti ini akan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mempunyai kekuatan mental dan rohani serta ilmu bagi mengharungi dunia keusahawanan yang penuh dengan cabaran dan kompetitif,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Datuk Dr. Hafsah Hashim berkata, sejak Program SME Corp@Universiti diperkenalkan di 10 IPTA dan 1 IPTS terpilih di seluruh negara pada tahun 2010, ia telah berjaya membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran hampir 800 usahawan PKS untuk menjadi lebih kreatif, inovatif, berdaya tahan, berdaya saing, serta mampu mengenal pasti dan membuka peluang perniagaan.
“Program ini bukan sahaja memberi ruang dan peluang untuk graduan usahawan mengembangkan perniagaan mereka di peringkat nasional, sebaliknya sehingga ke luar negara, sekaligus membantu melahirkan usahawan berminda global.
“Adalah diharapkan agar segala mutiara ilmu yang ditimba di USM ini dapat dimanfaatkan oleh para usahawan yang ingin memajukan diri sendiri dan juga perniagaan yang diusahakan,” katanya.
Seorang peserta yang juga Pengarah Urusan N Sasia Professional Learning Academy, Noraida Yahya berkata, penyertaannya dalam program ini banyak membantunya memperluaskan rangkaian perniagaannya.
“Banyak ilmu dan kemahiran yang saya peroleh daripada program ini saya terapkan dalam menguruskan bisnes saya, dan ternyata ia telah membantu melonjakkan bisnes saya,” katanya.
Yang hadir sama dalam majlis ini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein; Pengarah EpiC, Profesor Dr. Mahmod Sabri Haron dan Pengurus HRDF Cawangan Utara, Norlaili Mat Sah serta Felo Keusahawanan dan tenaga pengajar yang terdiri daripada pensyarah USM dan pihak industri.
- Created on .
- Hits: 1282