EMPAT WANITA, TIGA NEGARA BERSATU DALAM SENI ‘PERCEPTION’
PULAU PINANG, 26 Januari 2018 – Buat julung kalinya empat pelajar wanita Universiti Sains Malaysia (USM) dari tiga buah negara bersatu dalam menterjemahkan ilham seni buat tatapan umum bertajuk ‘PERCEPTION’.
Pameran bertemakan “PERCEPTION: Ability to see, hear, and become aware through the senses” diketengahkan oleh Marni Suhaela Zulkifli dari Malaysia, Naglaa Saad Zaghloul Gaber Sirage dan Suhailah Jehad Nassar dari Mesir serta wakil tunggal mahasiswa USM dari China Xi YiJiao, kesemuanya pelajar tahun akhir yang sedang mengikuti Program Sarjana Mod Campuran, Pusat Pengajian Seni, USM.
Hasil artistik kreatif projek akhir Ijazah Tinggi Sarjana Seni Halus telah dipamer khas buat tontonan umum di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM bermula 26 Januari sehingga 28 Februari 2018.
Perasmian pameran ini disempurnakan oleh Pengarah Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Zolkurnian Hassan hari ini dan dihadiri oleh pensyarah dan pegawai-pegawai utama Pusat Pengajian Seni USM.
Menurut Marni Suhaela, kelainan pameran yang dibawakan adalah gabungan seni dalam satu penyampaian iaitu seni halus, fotografi digital dan rekaletak pembungkusan (packaging design).
“Apa yang ingin kami sampaikan melalui ‘PERCEPTION’ ini adalah berkaitan persoalan kepada makna, nilai, budaya dan latar belakang agama yang diterjemah melalui hasil seni kami berempat.”
Marni yang dilahirkan di Bandung, Indonesia dan dibesarkan di Malaysia berkata, tumpuan diberikan kepada penerokaan rekaletak pembungkusan melalui kebolehbacaan untuk membolehkan Orang Kelainan Upaya (OKU) mendekati suatu produk melalui tulisan braile dan kaedah mudah yang lain.
“Sememangnya rekaletak pembungkusan bagi OKU perlu diutamakan kerana kemudahan ini dapat membantu mereka mengenalpasti produk yang diinginkan melalui deria rasa dan kaedah sesuai untuk mereka memahami sesuatu produk,” katanya lagi.
Xu Yijiao, berasal dari China, turut membawakan nilai seni yang unik iaitu tanggapan warna dan filem melalui seni lukisan.
Beliau yang telah setahun berada di Malaysia berkata, idea ini tercetus melalui ingatan penonton pada babak sesebuah filem melalui penorama yang sukar dilupakan kerana kesan kegunaan warna atau rekaletak skrin pada filem tersebut.
“Saya berfikir warna memainkan peranan penting untuk kita sentiasa mengingati panorama menarik pada sesebuah filem untuk jangka masa panjang, dan saya gunakan kreativiti idea itu melalui keunikan warna pada lukisan agar sesiapa yang melihat dapat mengingati hasil seni yang dipamerkan ini.”
Manakala Suhailah dan Naglaa yang berasal dari Mesir turut mempamerkan hasil seni melalui teknik 360 darjah panorama yang disatukan dengan seni kaligrafi Arab di masjid-masjid pilihan mereka seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.
Orang ramai dijemput hadir ke Muzium & Galeri Tuanku Fauziah bagi menyaksikan pameran keempat-empat mahasiswa ini yang cukup unik dan menarik untuk diterokai.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1569