USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

70 PELAJAR FARMASI TURUN PADANG MENDEKATI MASYARAKAT KAMPUNG

Hari 3 Motivasi

PULAU PINANG, 22 Januari 2018 – Seramai 70 orang pelajar dan beberapa pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) Universiti Sains Malaysia (USM) turun padang untuk bersama warga kampung RTP Padang Besar Jeneri, Kedah bagi membuat persiapan menghadapi masyarakat sebagai ahli farmasi kelak.

"Pihak pusat pengajian sangat menekankan perkembangan pelajar dari segi akademik, teknik berkomunikasi, akhlak, kemahiran interpersonal dan sebagainya dan saya berharap melalui program Baktisiswa Kedah 2018 ini para pelajar akan lebih terdedah kepada masyarakat dalam menawarkan saringan kesihatan dan mengadakan promosi kesihatan,” kata Pemangku Dekan PPSF, Profesor Madya Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan.

Hari 3 Promosi Kesihatan Pra Sekolah

“Melalui program seperti ini, tahap kesedaran orang kampung terhadap kesihatan dapat dipertingkatkan di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan pelajar USM dan orang kampung,” tambah Nurzalina.

Pengarah Program Baktisiswa Kedah 2018, Saiful Hazim Sulaiman berkata pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang emat hari termasuk promosi kesihatan, ceramah, aktiviti rekreasi dengan orang kampung serta pemeriksaan kesihatan percuma.

“Slot 'Seuntai Kasih Bersamamu' telah dilaksanakan melibatkan pemberian sumbangan berbentuk makanan dan wang kepada 10 buah keluarga yang memerlukan, hasil kutipan Projek Sains Untuk Masyarakat di bawah penyeliaan PPSF,” kata Saiful Hazim.

Tambahnya lagi, turut diadakan perlawanan bola sepak serta aktiviti senamrobik bersama orang kampung bagi memperkenalkan gaya hidup sihat kepada pelajar dan orang kampung, ceramah motivasi kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Padang Chicak serta kenduri rakyat melalui gotong-royong seluruh peserta. 

Hari 3 Gotong Royong Kawasan Kubur

Hari 1 Keluarga Angkat

Turut bersama dalam program tersebut ialah Pengerusi JKKK Kg RTP Padang Besar, Osman Jamaludin; pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly; pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy dan pensyarah-pensyarah PPSF USM.

Teks: Saiful Hazim Sulaiman/Disunting oleh: Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1434

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024