USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKENAL PERKHIDMATAN REHAT DAN RAWAT DI WAD EKSEKUTIF BAHARU

IMG 0084 800x600

USM KUBANG KERIAN, 20 Januari 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas sayap operasinya dengan memperkenalkan Wad Eksekutif di bawah kelolaan Usains Tech Services Sdn Bhd (UTS) yang mula beroperasi di lokasi baharu November tahun lalu.

Wad Eksekutif yang terletak di aras bawah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) ini berkapasiti 38 bilik dengan 42 buah katil, dibangunkan dengan kos RM6 juta bagi memberi perkhidmatan rehat dan rawat dengan kualiti yang tinggi serta disokong dengan pelbagai kepakaran yang ada di USM.

IMG 0103 800x600

IMG 0149

IMG 0187 800x600

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Usains Holding Sdn Bhd, Datuk Redza Rafiq, Hospital USM kini melangkah lebih jauh dengan memperkasa penawaran pelbagai perkhidmatan seperti Poliklinik Eksekutif Perubatan dan Pergigian, Perkhidmatan Unit Kajian Klinikal, Perkhidmatan Makmal, Perkhidmatan Imaging (seperti ultrasound), Pusat Pengimejan Wanita serta Pengurusan Acara dan Seminar.

“UTS menunjukkan peningkatan sehingga berupaya menawarkan pelbagai perkhidmatan bukan sahaja dari aspek perawatan dan perubatan malahan mencakupi ujian klinikal, diagnosis penyakit dan yang lebih membanggakan kemampuan menawarkan khidmat pengurusan acara dan seminar untuk membantu para profesional mengasah serta mempertajamkan kemahiran non-klinikal mereka.

Kecanggihan peralatan, keselesaan wad yang disediakan serta dengan kekuatan lebih daripada 100 orang pakar dalam pelbagai bidang seperti Kardiologi, Pediatrik, Dermatologi, Nefrologi dan lain-lain mampu menjadikan Perkhidmatan Kesihatan Eksekutif USM sebagai pilihan di rantau ini selaras dengan hasrat kerajaan mempromosikan pelancongan perubatan,” ujar beliau ketika ditemui pada Majlis Perasmian di sini pagi ini.

IMG 0357 800x600

Dengan kepelbagaian sebegini membuktikan UTS sinonim sebagai satu jenama yang dipercayai oleh masyarakat dan ini merupakan penanda aras baharu kepada USM dalam usaha memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan tidak menumpukan aspek penjanaan semata-mata.

Wad Eksekutif ini menawarkan lima jenis bilik iaitu Bilik Kenamaan (VIP), Single Premium, Single Deluxe, Double dan Single Standard (Pediatrik) dengan harga antara RM110 hingga RM500. 

IMG 0516 800x600

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dr. Zulkefli A. Hassan, Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Pengarah Urusan Usains Holding Sdn Bhd, Dato’ Syed Mohamad Syed Murtaza serta pengurusan tertinggi USM dan USAINS.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 4766

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024