USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC BANGGA PENCAPAIAN USAINS DALAM MENYAMPAIKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN

IMG 0111 800x600

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Januari 2018 – “Saya merasa bangga kerana secara keseluruhannya, kita berjaya menambahbaik kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dan menjadi antara yang terbaik di negara ini,” demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Asma Ismail.

Menurut Asma, sebagai sebuah organisasi yang menawarkan perkhidmatan sebuah hospital, USM turut terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti kesihatan yang terancang dan tersusun seperti program-program pendidikan, promosi kesihatan, pencegahan dan pengawalan penyakit, serta rawatan pesakit yang komprehensif.

IMG 0227 800x600

IMG 0218 800x600

“Antara isu utama kesihatan yang memberi kesan ke atas kesihatan penduduk adalah peningkatan permintaan dan harapan rakyat yang lebih tinggi terhadap sistem penyampaian kesihatan berkualiti.

“Masyarakat lebih gemar memilih mendapatkan rawatan di hospital dan ini mengakibatkan hospital mengalami kesesakan serta kelewatan dalam memberikan perkhidmatan dan ini boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan yang diberikan,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan aluan di Majlis Perasmian Perkhidmatan Kesihatan Eksekutif USM, di sini hari ini.

Asma berkata, menyedari akan perkembangan dalam perkhidmatan kesihatan, USM telah mengambil peluang dengan menubuhkan Wad Eksekutif pada tahun 1998 yang beroperasi di Wad 5 Timur Depan pada waktu tersebut dan menerima kemasukan pesakit berdasarkan permintaan serta kemampuan pesakit, memandangkan wad ini mengenakan caj berbeza berbanding wad biasa.


IMG 0242 800x600 

“Bermula pada tahun 2004, perkhidmatan wad ini dipindahkan ke Wad 2 Timur Depan dengan kapasiti yang lebih banyak iaitu mempunyai 10 bilik kelolaan USAINS Holding Sdn Bhd dan satu bilik kenamaan.

“USAINS terus melebarkan sayapnya dalam meningkatkan perkhidmatan kesihatan eksekutif dan kini setelah 20 tahun berlalu, USM terus menyokong dan mendokong memastikan USAINS terus melebarkan sayapnya sehinggalah ke hari ini, USAINS mampu berdiri teguh dengan satu nama yang dikenali dengan kepelbagaian perkhidmatan eksekutif contohnya wad eksekutif yang meningkat daripada 10 bilik kepada 38 bilik iaitu 34 bilik berseorangan dan empat bilik berdua,” ujarnya lagi.

IMG 0261 800x600

Tambah Asma, perkhidmatan yang ditawarkan ini menepati kehendak masyarakat serta memastikan mereka yang mendapatkan perkhidmatan di sini, akan menikmati faedah dalam jangka masa panjang terutama dari segi perbelanjaan dan kemudahan kesihatan.

“Ini adalah sejajar dengan Dasar Transformasi Nasional 2050 yang menjadikan aspek penjagaan dan perkhidmatan kesihatan menyeluruh meliputi peralatan, kemudahan dan kos sebagai salah satu keutamaan bagi mewujudkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

IMG 0419 800x600

IMG 0611 800x600

“Saya mengharapkan kejayaan hari ini akan berterusan dan USAINS akan terus memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan setara malah jika mampu, melebihi kehendak masyarakat,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamil/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1558

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024