NC MERIAHKAN #USMFIT BHEPA
PULAU PINANG, 17 Januari 2018 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail hari ini meluangkan masa bersama warga staf Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) bagi memeriahkan #USMFIT BHEPA di Dataran Cahaya Siswa, Kompleks Cahaya Siswa, USM.
Kira-kira 100 warga staf BHEPA hadir bersama Naib Canselor melakukan aktiviti senamrobik hampir satu jam yang antara lainnya menggalakkan warga kampus mengamalkan cara hidup sihat.Aktiviti senamrobik diketuai oleh pakar kecergasan tidak asing dari USM, Dr. George Teoh Boon Sai yang juga Pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh.
Menurut Naib Canselor, aktiviti kesihatan seperti ini amat baik dan bermanfaat untuk kesihatan malah memerlukan sokongan seluruh warga staf bagi menjayakannya.
"Saya berharap aktiviti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi melahirkan warga USM yang cergas dari segi mental dan fizikal."
Tambahnya, beliau amat menghargai inisiatif BHEPA yang mengadakan aktiviti sebegini dan sentiasa menyokong usaha yang dilakukan pada masa mendatang.
Aktiviti diteruskan dengan berjalan kaki sekitar kampus sebelum kembali ke dataran dan bersurai.Turut hadir memeriahkan aktiviti adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein; Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA, Mohd Saad Din dan barisan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1111