USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AMANAT MENTERI KPT: AKADEMIA USM BERI REAKSI POSITIF

PULAU PINANG, 11 Januari 2018 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) menyahut baik saranan dan halatuju yang digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dalam amanat beliau yang disampaikan pada hari ini.

Amanat beliau yang bertajuk “Pendidikan Tinggi 4.0: Ilmu, Industri dan Insan menerima reaksi positif warga pendidik di USM.

“Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh KPT seperti 2u2i, APEL dan lain-lain adalah sangat baik namun saya berharap satu kajian secara terperinci harus dilakukan (misalnya secara randomized control trial) bagi meyakinkan warga universiti untuk melaksanakannya serta terus menyokong dan menyahut cabaran yang dilontarkan,” kata Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Profesor Dr. Azhar Mat Easa.

Tambah beliau lagi, usaha sebegini dapat meningkatkan lagi keternampakan kepada program-program yang dilaksanakan dan penyampaiannya adalah secara menyeluruh dan komprehensif serta memberikan impak yang positif.

Bagi Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan Universiti, Profesor Datuk Dr. Abdul Khalil Shawkataly, beliau sangat tertarik dengan kurikulum yang bersifat boleh lentur dan organik atau ‘fluid and organic’ yang merangkumi pelbagai metodologi pengajaran dan pembelajaran termasuk Heutagogy, Paragogy dan Cybergogy.

“Sebagai seorang ahli akademik, saya menyambut baik usaha dan saranan KPT dalam membenarkan 30% daripada kurikulum yang bersifat boleh lentur dan organik.

“Bagi mendepani Revolusi Industri 4.0 yang diperkatakan bahawa manusia akan kehilangan pekerjaan, saya percaya para pelajar pada masa kini dapat mencipta pelbagai peluang pekerjaan (creating jobs) dan bukan hanya mencari pekerjaan (seeking jobs),” tambah Abdul Khalil yang ditemui selepas menyaksikan siaran langsung Amanat Menteri KPT 2018 di Dewan Budaya, USM.

Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Dr. Shuhaida Md Noor berkata, amanat yang diberikan boleh digunakan sebagai pemangkin semangat kepada perubahan drastik dalam pembelajaran dan pengajaran selaras dengan misi KPT pada tahun 2018 yang mensasarkan Universiti Awam memulakan pelaksanaan Smart Campus mulai bulan Jun 2018.

“Di USM kita mungkin boleh lihat kembali sistem pembelajaran dan kita selaraskan mengikut keperluan semasa supaya dapat seiring dengan arus pembelajaran masa kini seperti yang ditekankan dalam amanat Menteri,” tambahnya.

Sementara itu, pensyarah muda dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Dr. Hadzliana Zainal  berpendapat, amanat yang diberikan tersebut amat berguna kepada warga pendidik dan pelajar di UA dalam bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

Jelasnya lagi, pensyarah kini perlu mempelajari teknik-teknik terbaru dalam pengajaran supaya lebih fleksibel untuk pelajar memahami apa yang diajar.

“Saya berharap untuk tahun 2018, para akademia akan lebih relevan dan maju ke hadapan selaras dengan misi Menteri KPT,” katanya.

Teks: Nor Rafizah Md Zain & Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024