USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JALIN KERJASAMA DENGAN ENAM UNIVERSITI TERKEMUKA DI CHINA

39570290881 f9d334dd49 o

USM, PULAU PINANG, 8 Januari 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjadi tumpuan jalinan kolaborasi antarabangsa apabila menerima kunjungan hormat daripada enam buah universiti terkemuka China di sini, hari ini.

Delegasi seramai sembilan orang mewakili enam buah universiti yang hadir pada perjumpaan ini adalah dari Peking University, Universiti of Science and Technology of China, Xiamen University, Fudan University, Xi'an Jiaotong University dan Sun Yat-Sen University.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan aluannya berkata, USM sedia menjalinkan kerjasama dengan universiti luar dalam usaha pengantarabangsaan bagi memastikan USM kekal relevan dan mampu bersaing di peringkat global.

Jelasnya lagi, hubungan kedua-dua pihak dapat dieratkan melalui kerjasama pelbagai bidang termasuklah penyelidikan, penawaran program akademik secara bersama serta mobiliti pelajar dan staf.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perhubungan Antarabangsa, Peking University, Profesor Dr. Xia Hongwei, mewakili delegasi universiti dari China, berkata pihaknya berminat untuk menerokai kerjasama dalam beberapa bidang tumpuan/niche antaranya sains marin, perubatan molekular, arkeologi & arkeopelancongan, perubatan herba, kajian budaya dan bahasa Cina, seni halus dan kejuruteraan.

“Pihak kami juga berminat untuk menubuhkan sebuah pusat kajian antara disiplin untuk kajian Malaysia-Cina yang memberi tumpuan khususnya kepada penyelidikan dan pengajaran & pembelajaran berteraskan bidang sains dan sastera/seni,” katanya.

Yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Fauziah Md Taib; Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa, Dr. Muhizam Mustafa serta wakil dari beberapa PTJ.

Teks: Syuhada Abd. Aziz & Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1265

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024