SEDIAKAN POLISI UNTUK WUJUDKAN BILIK LAKTASI - NC
PULAU PINANG, 5 Januari 2018 – “Penyediaan Bilik Laktasi adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk dilaksanakan dan saya berharap bagi mengekalkan piawaian dan standard seperti yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa, satu polisi harus diwujudkan untuk rujukan setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) di semua kampus Universiti Sains Malaysia (USM),” kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika berucap di majlis Perasmian Bilik Laktasi di sini hari ini.
Beliau menyambut baik inisiatif Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM dalam menyediakan kemudahan Bilik Laktasi iaitu bilik untuk para ibu yang juga warga USM untuk mengepam, menyimpan dan mengumpulkan susu ibu bagi memberikan yang terbaik kepada anak-anak pada masa yang sama menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu yang bekerjaya.
“Jika polisi ini telah dikeluarkan, semua PTJ harus melaksanakannya untuk kemudahan semua staf atau pelajar di kawasan sekitar bangunan tersebut,” tambah Naib Canselor.
Dalam pada itu, Pengarah KANITA, Profesor Dr. Noraida Endut juga berbesar hati apabila hasrat ini telah diterima baik oleh Naib Canselor dan akan berusaha dalam mewujudkan polisi tersebut dalam masa terdekat.
“Usaha ini amat penting bagi mengurangkan golongan ibu yang bekerjaya iaitu dalam lingkungan umur 25-34 tahun keluar dari sektor pekerjaan dan ini telah dibuktikan oleh statistik yang menunjukkan penurunan secara drastik peratusan ibu-ibu yang bekerja meletak jawatan untuk fokus kepada anak-anak termasuk dalam kalangan profesional.
Bilik Laktasi ini dilengkapi dengan peti sejuk, dispenser, kerusi, sinki, bekalan pembersihan dan juga punca elektrik untuk kegunaan para ibu dan dibuka bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.45 petang pada hari bekerja.
Para ibu yang berminat untuk menggunakan bilik ini atau ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh hubungi Puan Hamizah A. Halim di talian 04-653 3436.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1379