USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGARAH PIPPA DILANTIK PENDAFTAR KE-9 USM

DSC 4356 800x600

PULAU PINANG, 2 Disember 2017 – Pengasas dan Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Musa Ali dilantik sebagai Pendaftar ke-9 USM, berkuatkuasa 1 Januari 2018 menggantikan Profesor Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin.

Musa, 51, mempunyai pengalaman luas dalam bidang latihan dan pembangunan sumber manusia turut memegang beberapa jawatan utama termasuk Pengarah Bahagian Sumber Manusia USM selain mempunyai kelayakan profesional dalam menjalankan kursus-kursus kepimpinan dalam dan luar negara.

DSC 4387 800x600

Kepakarannya yang dibangunkan bersama PIPPA diiktiraf sehinggakan beliau berjaya membina jaringan strategik dengan pelbagai pihak termasuk dari United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara Timur Tengah.

Anak kelahiran Kedah ini meraih ijazah kedoktorannya dalam bidang pengurusan sumber manusia dari Murdoch University, Australia (2013) dan terdahulu memperoleh ijazah sarjana dalam Pentadbiran Awam (MPA) dari USM (2000).

Beliau berkata, pelantikan tersebut menjadi satu amanah yang perlu digalas sebaiknya ke arah kecemerlangan pengurusan dalam perkhidmatan sumber tenaga manusia, akademik dan kemudahan pusat melalui pemupukan kualiti dan profesionalisme.

DSC 4348 800x600

“Saya amat terharu dengan kepercayaan semua pihak dan akan berusaha sebaiknya untuk menggalas tanggungjawab ini bagi membantu Universiti meneruskan kecemerlangan tadbir urus yang sistematik dan berkesan,” katanya.

Kelayakan profesional Musa sebagai fasilitator turut menjadikan beliau pakar rujuk dan diiktiraf mengetuai projek-projek konsultansi yang melibatkan pembangunan pelan strategik sektor awam dan swasta di negara ini.

Beliau turut aktif dalam penghasilan buku, antara karya beliau yang telah diterbitkan adalah Transformasi Pengurusan Latihan Sektor Awam: Pendekatan Universiti Sains Malaysia, Kreativiti dan Inovasi Menjana Insan Produktif, Transformasi Organisasi: Konsep dan Teknik Pelaksanaan dan sebagainya.

DSC 4415 800x600

Dalam pada itu, Abd. Aziz dalam ucapannya pula turut menzahirkan penghargaan kepada Universiti atas kepercayaan dan peluang menerajui jawatan Pendaftar selama dua tahun (1 Januari 2016 – 31 Disember 2017) selain jawatan-jawatan utama yang lain di USM.

Beliau yang memulakan kerjaya di USM pada 1986  pernah memegang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Fizik, Dekan Penyelidikan Fundamental, Pengarah Kampus Kejuruteraan dan Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM.

DSC 4435 800x600

“Saya akan terus mendoakan Universiti ini dan warganya supaya sentiasa dirahmati dan diberkati, dan USM akan terus maju dan tersohor dalam mendepani cabaran masa hadapan,” katanya yang berkepakaran dalam bidang Fizik Sinaran dan Fizik Perubatan.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa  

  • Created on .
  • Hits: 1870

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024